Translate

Wednesday, March 6, 2024

Ibu diuji sakit saraf, bapa pula diserang strok

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang wa­nita memerlukan wang kira-kira RM1,000 sebulan bagi kos perubatan dan membeli lampin pakai buang untuk ibu bapanya yang terlantar sakit sejak beberapa tahun lalu.

Roshani Mat Ali, 49, berkata, pada mulanya, ibunya, Minah Ibrahim, 77, diuji penyakit saraf kira-kira enam tahun lalu.

Ujian keluarga itu kemudian bertambah apabila bapanya, Mat Ali Salleh pula diserang strok dua tahun lalu.

“Saya merupakan suri rumah dan menetap berdekatan rumah ibu bapa. Jadi saya ambil tanggungjawab menjaga mereka.

“Mereka memerlukan penja­gaan khas dan perlu dibantu hampir dalam semua aktiviti seharian.” katanya ketika ditemui di Kampung Jeram Hulu, Tepoh di sini baru-baru ini.

Roshani memberitahu, ibu bapanya hanya memakan bubur dan memakai lampin pakai buang setiap hari. Kos perubatan termasuk membeli lampin pakai buang pasangan warga emas itu mencecah RM1,000 sebulan.

“Alhamdulillah bapa saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seba­nyak RM300 sebulan. Jumlah itu sebenarnya masih belum cukup untuk membiayai kos perubatan bulanan mereka,” katanya.

Roshani memberitahu, dia tidak dapat membantu dari sudut kewangan kerana suami­nya, Zuraili Loh, 47, bekerja sebagai pemandu lori sambilan dengan pendapatan RM800 sebulan.

Wanita itu turut berharap supaya permohonan bantuan bulanan bagi ibunya akan diluluskan oleh JKM.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 1100-1410-0023-7696 atas nama Mat Ali. -KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment