Translate

Tuesday, March 12, 2024

Ayahanda Harimau Kumbang didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

DUNGUN – Seorang peniaga yang digelar Ayahanda Husin didakwa di Mahkamah Majistret, di sini semalam atas pertuduhan menguruskan sebuah pertubuhan haram dikenali Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Malaysia Ayahanda Harimau Kumbang (AHK), tahun lalu. 

Tertuduh, Husin Hassan, 40, turut didakwa bersama seorang mekanik, Mohd. Syamim Abdul Rahim, 39, atas dakwaan mengambil bahagian dalam AHK yang merupakan pertubuhan tidak berdaftar. 

Turut didakwa adik dan anak Husin iaitu Mohamad, 39, dan Muhammad Airel Amirul, 21, serta seorang pemandu ambulans, Hilmy Ibrahim, 50, atas dakwaan menjadi anggota AHK. 

 Kesemua tertuduh termasuk ketuanya, Husin membuat pengakuan tidak bersalah setelah semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman. 

Berdasarkan pertuduhan, Husin didakwa mengurus AHK yang merupakan sebuah pertubuhan tidak berdaftar di Kampung Sura Jeti di sini pada pukul 1.40 pagi, 20 Januari 2023. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukukan penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM15,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 Dia turut didakwa bersama Mohd. Syamim mengambil bahagian dalam AHK tanpa kebenaran bertulis Pendaftar mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000. 

Mohd. Syamim bersama Mohamad dan Muhammad Airel Amirul serta Hilmy didakwa menjadi anggota AHK mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi berasingan iaitu Kampung Che Lijah, Kampung Sura Hujung dan Kampung Alur Jambu di sini antara pukul 1.50 pagi hingga 3.15 pagi, 20 Januari 2023. 

Mahkamah membenarkan Husin dan Mohd. Syamim dibebaskan dengan wang jaminan keseluruhan RM9,000 dan seorang penjamin. 

Mohd. Syamim bersama Mohamad, Muhammad Airel Amirul dan Hilmy pula dibenarkan diikat jamin berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.

 Sebutan semula kes pada 18 Mac depan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd. Ali. 

Peguam, Datuk Sukri Mohamed mewakili Husin, Mohamad dan Muhammad Airel Amirul, manakala Mohd. Syamim dan Hilmy diwakili peguam, Nohabibah Norulalzahar. 

Kosmo! 23 Januari 2023 melaporkan AHK yang disyaki aktif dalam aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau along dan menarik kenderaan secara haram berjaya dilumpuhkan dalam operasi khas dilakukan Bukit Aman di sekitar Dungun. 

Siasatan awal mendapati AHK yang merupakan serpihan pertubuhan berdaftar, Selendang Merah mula aktif di sekitar Dungun dan dipercayai merekrut keahlian termasuk dalam kalangan anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun sejak tahun 2021.

No comments:

Post a Comment