Translate

Wednesday, March 6, 2024

KPKT cadang Pasar Kedai Payang dijenama sebagai Central Market

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kompleks Pasar Kedai Payang di sini disaran dijenamakan sebagai Central Market bagi meningkatkan lagi reputasinya sebagai sebagai pusat sehenti kesenian, kraf tangan, kebudayaan dan pelancongan setanding dengan Pasar Seni Kuala Lumpur.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penjenamaan semula tersebut dapat menjadikan Pasar Kedai Payang lebih dikenali di peringkat antarabangsa sekaligus menarik ramai lagi pelancong.

“Saya cadang kepada kerajaan negeri (Terengganu) agar Pasar Kedai Payang ini diberi nama Central Market@Pasar Payang selaras objektif ‘sustainable development goal’ (matlamat pembangunan mampan).

“Tinggi harapan saya suatu hari nanti nanti Pasar Kedai Payang ini mendapat penarafan warisan negara seperti Central Market (Pasar Seni) di Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan projek pembangunan semula Pasar Kedai Payang tersebut kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Kor Ming berkata, projek pembangunan semula Pasar Kedai Payang yang menelan belanja RM70.03 juta tersebut bermula pada tahun 2019 bagi menggantikan kompleks lama berusia lebih 50 tahun yang telah uzur.

Beliau berkata, kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 yang siap sepenuhnya pada 19 Julai 2023 berkenaan dilengkapi kemudahan seperti eskalator, lif, bilik persalinan bayi dan menara jam serta mesra golongan orang kurang upaya (OKU).

“Saya berharap Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dapat menjaga sebaiknya projek ikonik (Pasar Kedai Payang) ini dan menjadikannya salah satu pasar terbaik negara,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu akan meneliti secara serius cadangan penjenamaan Central Market@Pasar Payang itu bagi menjadikannya lebih terkenal dalam kalangan pelancong. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment