Translate

Friday, March 8, 2024

Ahli perniagaan wanita rugi RM202,400 diperdaya scammer

 KUALA TERENGGANU – Ekoran terlalu takut kononnya mahu didakwa atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram dan aktiviti dadah, seorang ahli perniagaan wanita kerugian RM202,400 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan baru-baru ini. 

 Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, wanita berusia 47 tahun itu hanya menyedari tertipu apabila mendapati amaun wang simpanan dalam akaun banknya berkurangan pada Rabu lalu.

 Beliau berkata, sebelum itu, ahli perniagaan itu dihubungi suspek yang mengaku sebagai wakil syarikat kurier dan pengawai polis pada awal bulan lalu.

 “Suspek mendakwa mangsa sedang disiasat dalam kes pengubahan wang haram dan dadah. 

 “Mangsa ditakut-takutkan agar memberi kerjasama mendedahkan maklumat akaun bank dan kata laluan perbankan internet sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan perundangan,” katanya di sini semalam. 

 Mazli berkata, wanita terbabit bukan sahaja menyerahkan maklumat perbankannya, malah menurut arahan melakukan transaksi pindahan wang ke beberapa akaun bank seperti diarahkan suspek.

 Tambahnya, anggota sindiket itu mendakwa siasatan jenayah kononnya melibatkan ahli perniagaan itu hanya akan selesai dalam tempoh tiga bulan.

 “Mangsa hanya mengetahui tertipu apabila disedarkan ahli keluarganya tentang kes melibatkan sindiket penipuan pada Rabu lalu. 

 “Semakan ke akaun banknya mengesahkan dia tertipu apabila wang simpanan RM202,400 dipindahkan ke akaun-akaun bank lain sebanyak 35 transaksi tanpa pengetahuannya,” katanya.

 Sehubungan itu, Mazli menasihatkan orang ramai agar tidak melayan dan terperdaya dengan panggilan daripada nombor tidak dikenali. 

 Tambahnya, kesahilan panggilan terbabit harus disemak dengan pihak berkenaan atau polis bagi mendapatkan pengesahan.

No comments:

Post a Comment