Translate

Monday, March 11, 2024

Pasangan warga emas terlantar sakit

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Seorang wanita memerlukan wang kira-kira RM1,000 sebulan bagi kos perubatan dan membeli lampin pakai buang untuk ibu bapanya yang terlantar sakit sejak beberapa tahun lalu.

 Roshani Mat Ali, 49, berkata, pada mulanya, ibunya, Minah Ibrahim, 77, diuji penyakit saraf kira-kira enam tahun lalu. 

 Ujian keluarga itu kemudian bertambah apabila bapanya, Mat Ali Salleh pula diserang strok dua tahun lalu. 

 “Saya merupakan suri rumah dan menetap berdekatan rumah ibu bapa. Jadi saya ambil tanggungjawab menjaga mereka. 

“Mereka memerlukan penjagaan khas dan perlu dibantu hampir dalam semua aktiviti seharian.” katanya ketika ditemui di Kampung Jeram Hulu, Tepoh di sini baru-baru ini. 

 Roshani memberitahu, ibu bapanya hanya memakan bubur dan memakai lampin pakai buang setiap hari. 

Kos perubatan termasuk membeli lampin pakai buang pasangan warga emas itu mencecah RM1,000 sebulan. 

“Alhamdulillah bapa saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Jumlah itu sebenarnya masih belum cukup untuk membiayai kos perubatan bulanan mereka,” katanya. 

 Roshani memberitahu, dia tidak dapat membantu dari sudut kewangan kerana suaminya, Zuraili Loh, 47, bekerja sebagai pemandu lori sambilan dengan pendapatan RM800 sebulan. 

 Wanita itu turut berharap supaya permohonan bantuan bulanan bagi ibunya akan diluluskan oleh JKM.

 Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 1100141000237696 atas nama Mat Ali.

No comments:

Post a Comment