Translate

Tuesday, June 2, 2015

Operasi jejak peniaga tamak


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melancarkan operasi besar-besaran bagi menjejak peniaga menaikkan harga barangan yang sebelum ini dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di seluruh negara bermula hari ini.
Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Alias Ahmad berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 557 barang merangkumi makanan, pakaian, barangan elektrik dan perabot yang sepatutnya mengalami penurunan harga berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu.
“Mulai esok (hari ini) tumpuan penguatkuasaan lebih fokus terhadap peniaga yang tetap mengenakan enam peratus bayaran GST tanpa melupuskan caj SST sebanyak 10 peratus.
“Kita hendak semak sama ada mereka telah menurun­kan harga barangan tersebut atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar mengenai GST bersama Pengarah Bahagian GST, Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam di sini semalam.


Alias berkata, operasi berkenaan turut melibatkan pemeriksaan 22 produk yang dikelaskan dalam kategori sifar peratus GST berbanding dikenakan lima peratus SST sebelum ini.

Menurut beliau, semua barangan terbabit sepatutnya mengalami penurunan harga antara empat hingga lima peratus setelah ditolak daripada caj SST yang dikenakan sebelum ini.

"Senarai barangan itu telah diedarkan dan kita telah mengarahkan pasukan penguat kuasa di peringkat negeri agar mengadakan pemeriksaan di premis-premis seperti kedai runcit, pasar raya, pasar raya besar mulai esok (hari ini).

"Hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua bagi individu manakala bagi kesalahan melibatkan syarikat pula, denda maksimum RM500,000 boleh dikenakan jika sabit kesalahan," katanya.

No comments:

Post a Comment