Translate

Monday, June 1, 2015

Pemaju harap statistik perlu lebih telus


KUALA LUMPUR - Syarikat pemaju perumahan menyarankan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) mengambil kira jumlah sebenar permohonan yang ditolak pada peringkat awal bagi memberi gambaran sebenar statistik penolakan pinjaman perumahan oleh bank di Malaysia.

Pengarah Urusan IJM Land, Edward Chong Sin Kiat berkata, walaupun beliau tidak mempertikaikan statistik ABM bahawa terdapat penurunan jumlah permohonan yang ditolak pada tahun lalu, namun statistik tersebut akan lebih telus jika ABM turut mengambil kira permohonan dari peringkat pertama.

"Kadar permohonan yang bank tolak secara terus mungkin tidak banyak jika telah melalui beberapa peringkat berbanding jika dikira pemohon mula-mula berurusan dengan pihak bank.

"Selain itu, sekiranya pihak bank memotong kelulusan peratusan pinjaman rumah contohnya daripada 90 peratus kepada 70 peratus, ia juga harus dikira sebagai satu penolakan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sin Kiat berkata, selain itu, polisi yang menetapkan pengiraan mereka yang layak memohon pinjaman berdasarkan pendapatan bersih ditolak pelbagai komitmen seperti bayaran bulanan kereta dan kad kredit sudah pasti menjadikan pemeriksaan kredit kini jadi lebih ketat.

Bank Negara Malaysia pada tahun 2012 mengetatkan syarat pinjaman yang memerlukan bank komersial menyemak pendapatan bersih dan bukannya pendapatan kasar pemohon sebelum meluluskan pinjaman bagi memastikan hutang isi rumah dapat dikawal dengan baik.

Sementara itu, Pengerusi UDA Holding Berhad, Datuk Johari Abdul Ghani pula berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan tahap pemeriksaan kredit oleh bank ke atas bakal pembeli.

Bagaimanapun, beliau mengakui fakta harga rumah mahal mungkin menyukarkan orang ramai yang mahu membeli rumah tersebut berbanding mereka yang mahu mendapatkan pinjaman daripada bank untuk membeli rumah mampu milik.

No comments:

Post a Comment