Translate

Friday, June 12, 2015

Minuman ringan dikenakan cukai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan sedang mengkaji kemungkinan untuk mengenakan cukai khusus ke atas mi­numan ringan yang mengan­dungi gula terlalu tinggi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, pendekatan itu merupakan strategi jangka panjang kerajaan bagi mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat negara ini.
“Cadangan itu masih dalam peringkat kementerian dan kita telah mengadakan perbincangan dengan pihak industri berhubung pelaksanaan cukai itu.
“Mekanisme terbaik pelaksanaan sedang dicari dan salah satunya ialah cukai tersebut berasaskan kuantiti gula yang terdapat di dalam minuman terbabit,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Persatuan Pakar Pemakanan (MDA) ke-21 di sini semalam.

Turut hadir Presiden MDA, Prof. Winnie Chee Siew Swee dan Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan, Datuk Tan Yoke Hwa.

Subramaniam berkata, sejurus kata putus dicapai, cadangan mengenakan cukai terhadap minuman bergula tinggi itu akan diserahkan kepada agensi kerajaan berkaitan untuk dilaksanakan.

Menurut beliau, tumpuan diberikan kepada makanan dan minuman diproses yang mengandungi nutrisi tidak sihat dan mampu memberi implikasi kesihatan kepada pengguna.

“Pengambilan gula dikalangan rakyat Malaysia antara tertinggi di Asia Tenggara menyebabkan ramai yang mengalami obesiti dan penyakit diabetes. 

“Sebelum ini subsidi gula telah ditarik balik. Sebenarnya kita tidak perlukan gula dan boleh hidup tanpanya, karbohidrat boleh didapati daripada sumber kompleks lain seperti nasi, tepung dan oat bukan gula,” katanya.

Beberapa negara seperti Norway, Finland, Perancis dan Hungary serta dua negeri dalam Amerika Syarikat iaitu Maryland dan Virgnia telah mengenakan cukai ke atas minuman ringan dan makanan lain yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.

No comments:

Post a Comment