Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA LUMPUR – Anggota keselamatan yang bertanggungjawab mengarahkan seorang pelanggan wanita untuk memakai kain sarung ketika berurusan di sebuah pejabat cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Isnin lalu telah ditukarkan ke unit lain mulai kelmarin.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, siasatan mendapati tindakan kontroversi terbabit telah dilakukan oleh seorang anggota keselamatan agensi itu dari Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
"Arahan memakai kain sarung itu tidak dilakukan oleh pegawai JPJ sebaliknya oleh seorang anggota keselamatan dari Rela atas kapasiti peribadi.
"Dia telah ditukarkan untuk menjaga unit lain selepas kejadian tersebut telah menjadi viral di media sosial semalam (kelmarin)," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Ab. Aziz berkata, JPJ tidak pernah melakukan tindakan sedrastik itu terhadap pelanggan agensi tersebut sebelum ini biarpun etika berpakaian di premis kerajaan telah diwujudkan sekian lama.
Menurut beliau, kejadian itu amat dikesali dan berharap ia akan menjadi pengajaran berguna kepada JPJ dalam menangani pelanggan pada masa depan.
"Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah JPJM, Datuk Ismail Ahmad untuk mengemaskini garis panduan pemakaian orang awam di pejabat agensi itu.
"Ia harus lebih jelas agar mudah difahami oleh orang awam dan sebarang teguran terhadap cara berpakaian pelanggan selepas ini perlu ditangani secara lebih mesra dan berhemah," katanya.
Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita dikenali sebagai Suzanne G.L. Tan mendakwa di akaun Facebooknya bahawa dia telah diarahkan memakai kain sarung kerana memakai skirt singkat ketika berkunjung di sebuah pejabat cawangan JPJ Wangsa Maju di sini untuk menukar nama pemilik kereta yang telah dijualnya.
JPJ kemudiannya melahirkan rasa kesal atas kejadian yang menimpa wanita itu sambil menegaskan pihaknya tidak mempunyai polisi yang memberikan kain sarung kepada pelanggan yang tidak menetapi garis panduan kod etika berpakaian.
No comments:
Post a Comment