Translate

Wednesday, September 10, 2014

Sindiket curi kenderaan guna gajet canggih tumpas

SHAH ALAM - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan mewah di sekitar Lembah Klang selepas menahan salah seorang anggota sindiket tersebut di Alam Budiman di sini, Khamis lalu.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 18 kes mencuri kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit sejak lebih dua tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek berusia 30-an itu berjaya diberkas ketika sedang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard dalam keadaan mencurigakan pada pukul 5 petang, 4 September lalu.

Menurutnya, susulan penahanan lelaki itu, pemeriksaan di dalam rumah lelaki itu di Alam Budiman menjumpai beberapa peralatan mencuri kenderaan seperti sepana, gajet menyahfungsi sistem penggera kenderaan dan sistem kedudukan global (GPS).

"Kad pengenalan dan kad transit pintar Smart Tag dipercayai milik mangsa, nombor plat dan cukai jalan palsu, mesin membuat kunci pendua dan 100 kunci kereta pendua turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.

Adnan berkata, empat buah kenderaan mewah iaitu dua Toyota Estima, sebuah Toyota Alphard dan sebuah Toyota Lexus yang masing-masing dilaporkan hilang di Puchong, Kota Damansara dan Brickfield dari 17 Februari hingga 4 September lalu juga ditemui semula.

Menurut beliau, modus operandi sindiket berkenaan ialah mengekori mangsa yang sedang memandu kenderaan mewah sasaran sehingga ke tempat letak kereta.

"Frekuensi sistem penggera kenderaan terbabit akan digodam sehingga mangsa gagal menggunakan sistem penggera lalu terpaksa mengunci kenderaan secara manual.

"Selepas mangsa meninggalkan kenderaan, anggota sindiket yang biasanya terdiri daripada tiga orang akan membuat kunci pendua dan sistem penggera baharu sebelum melarikan kenderaan tersebut," katanya.

Adnan memberitahu, gajet menyahfungsi GPS juga akan diaktifkan bagi memastikan kenderaan yang dicuri gagal dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, selain menggunakan nombor plat dan pelekat cukai jalan palsu, sindiket terbabit juga menukar nombor casis enjin kenderaan berkenaan dengan menggunakan teknik khas sebelum menjualnya di luar negara menerusi pasaran gelap.

No comments:

Post a Comment