Translate

Saturday, September 13, 2014

Jurujual dituduh cuba rogol pelajar


SHAH ALAM - Seorang jurujual kenderaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan cuba merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan menyamun seorang wanita Ahad lalu.

Feezree Ferdause, 22, turut menghadapi satu pertuduhan menyamun mangsa di tempat letak kereta Blok C, Pangsapuri Servis Brunsfield dari pukul 6 pagi hingga 6.35 pagi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang berasal dari Seksyen 24 di sini didakwa telah menyamun sebuah telefon bimbit jenama Samsung S3 milik mangsa yang berusia 23 tahun di tempat letak kereta pangsapuri servis berkenaan.

Lelaki terbabit yang sudah bertunang dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Feezree didakwa kemudiannya cuba merogol pelajar institusi pengajian tinggi awam tersebut dan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan.

Selain itu, Feezree didakwa melakukan persetubuhan luar tabii.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 327C Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara antara lima hingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Feezree yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Slamat menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan kes disebut semula pada 10 Oktober depan.

Wakil tertuduh dilihat membayar jaminan itu.

No comments:

Post a Comment