Translate

Tuesday, September 23, 2014

Azmin Menteri Besar Selangor

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI 
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Kemelut politik Selangor yang sudah berlarutan dua bulan lalu bakal berakhir selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar baharu negeri itu.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Mohamed Azmin, 50, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di Istana Alam Shah, Klang dekat sini pada pukul 10.30 pagi ini.
“Sukacita dimaklumkan Sultan Selangor telah berkenan melantik Mohamed Azmin untuk menjawat jawatan Menteri Besar Selangor berkuat kuasa 23 September 2014.
“Beliau (Mohamed Azmin) diminta hadir ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Ikrar Aku Janji dan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor yang akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang,” kata Mohamad Munir dalam satu kenyataan dikeluarkan menerusi Istana Alam Shah semalam.
Mohamed Azmin menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang terpaksa melepaskan jawatan itu selepas hilang kepercayaan majoriti ADUN Selangor ekoran dipecat keahlian oleh PKR pada 9 Ogos lalu.

Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang turut dipecat selepas beliau enggan mematuhi arahan parti supaya mengosongkan jawatan  Menteri  Besar  bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Mohamed  Azmin  merupakan lulusan ijazah sarjana muda matematik dan ekonomi dari University of Minnesota, Amerika Syarika.Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1990-an yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana  Menteri. 

Selain Mohamed  Azmin, dua Exco negeri daripada Pas iaitu Iskandar Abdul Samad dan Dr. Ahmad Yunus Hairi turut disenarai pendek sebagai calon  Menteri Besar Selangor yang baharu.

Iskandar merupakan Pesuruhjaya Pas negeri manakala Ahmad Yunus pula Bendahari Pas negeri.

Sementara itu, Mohamed  Azmin  mengesahkan beliau telah menerima surat daripada Sultan Selangor yang memperkenan pelantikannya sebagai  Menteri   Besar  Selangor baharu pada pukul 3 petang semalam.

"Saya bersyukur kerana telah menerima surat daripada Sultan Selangor yang memperkenankan pelantikan saya," kata beliau selepas hadir pada Mesyuarat Biro Politik Tergempar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya dekat sini semalam.

Turut hadir Penasihat PKR, Anwar dan isteri Wan Azizah.

Anwar enggan memberi komen mengenai pelantikan Mohamed  Azmin .

Dalam pada itu, Wan Azizah dalam satu kenyataan pula berkata, beliau menerima dengan hati terbuka keputusan yang dibuat Sultan Selangor.

No comments:

Post a Comment