KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam melahirkan kekecewaan ke atas Parti Pakatan Rakyat (PKR) yang menjadi punca berlakunya pergolakan politik di negeri itu.
Baginda bertitah, pergolakan dalam Pakatan Rakyat bermula dengan Langkah Kajang yang menjadi titik permulaan kepada usaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.
Titah baginda, hasutan serta tohmahan yang timbul terhadap Abdul Khalid berterusan walaupun semasa bulan Ramadan ketika umat Islam sepatutnya melakukan ibadah dan kerja-kerja amal yang diredai oleh Allah SWT untuk membersihkan dosa serta maksiat.
"PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor," titah baginda pada Istiadat Angkat Sumpah, Ikrar Aku Janji dan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang baharu di Istana Alam Shah di sini semalam.
Sementara itu, baginda turut mengingatkan orang Melayu Islam agar tidak berpecah-belah serta menjadi ekstrimis atau mengelirukan rakyat sehingga mengikut ajaran agama sesat.
“Beta tidak mahu orang Melayu Islam berpuak-puak, mencaci antara satu sama lain sehingga meruntuhkan kemuafakatan orang Melayu yang mana Beta khuatir suatu hari kelak jika perkara ini berterusan, orang Melayu akan menuju kehancuran,” titah baginda.
No comments:
Post a Comment