Translate

Tuesday, September 23, 2014

Khalid tak hadir majlis angkat sumpah MB

SHAH ALAM - Tan Sri Abdul  Khalid   Ibrahim  dijangka tidak menghadiri majlis angkat sumpah  Menteri   Besar  Selangor baharu yang dijadual berlangsung di Istana Alam Shah, Klang dekat sini hari ini.

Sebaliknya, Abdul  Khalid  yang secara rasmi menamatkan tugas sebagai  Menteri   Besar  Selangor semalam memberitahu, beliau akan memulakan percutian selama sebulan di Australia.

"Saya bercadang untuk bercuti ke Australia. Rakan-rakan di negara itu telah menunggu saya," kata beliau pada majlis perpisahannya sebagai  Menteri   Besar  Selangor ke-14 di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Lebih 1,000 penjawat awam termasuk tiga Exco negeri daripada Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Yunus Hairi dan Dr. Halimah Ali serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi  hadir  pada majlis tersebut.

Abdul  Khalid  menyifatkan beliau sebagai seorang yang bertuah kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk melakukan tugas sebagai  Menteri   Besar  Selangor dengan amanah dan bertanggungjawab dalam tempoh enam tahun.

"Saya rasa terharu kerana terlalu ramai mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih. Saya terima yang terima kasih, selamat tinggal itu belum lagi sebab saya masih hendak tinggal di Selangor," katanya berseloroh.

Dalam perkembangan lain, Abdul  Khalid  berkata, beliau akan memikirkan semula kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang menjelang Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada bulan depan.

Bagaimanapun, bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pula Abdul  Khalid  memberitahu, beliau akan tetap mempertahankan kedudukan itu dengan berkhidmat di kawasan tersebut sehingga Pilihan Raya Umum ke-14.

Terdahulu Abdul  Khalid  yang tiba di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) kira-kira pukul 9 pagi kelihatan ceria sambil menunjukkan isyarat bagus kepada jurugambar yang merakamkan wajahnya.

Abdul  Khalid  kemudian mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri buat kali terakhir sebagai  Menteri   Besar  Selangor sebelum  hadir majlis perpisahannya.

Difahamkan Abdul  Khalid  telah mengosongkan pejabatnya sejak kelmarin.

No comments:

Post a Comment