Translate

Thursday, September 11, 2014

Penceramah bebas didakwa hina Sultan Selangor

SHAH ALAM - Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dua tahun lalu.
Wan Ji, 32, yang merupakan ahli Pas didakwa memuat naik enam status yang menghasut dan menghina Sultan Selangor di laman sosial Facebook miliknya pada pukul 10 pagi, 5 November 2012.
Kesemua status yang dimuat naik itu menyentuh rasa tidak puas hati tertuduh terhadap titah baginda yang mengingatkan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya tidak terpengaruh dengan kebebasan bersuara diperjuangkan golongan yang mementingkan ideologi politik.
Wan Ji dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang terletak di tingkat lima Bangunan Sultan Salahuddin Aziz Shah di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000, bagi kesalahan pertama manakala penjara sehingga lima tahun bagi kesalahan seterusnya jika sabit kesalahan.
Dia yang diwakili peguam bela, Mohd. Radzlan Jalaudin membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Slamat Yahya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azhari Harun mencadangkan wang jaminan sebanyak RM5,000 namun Mohd. Radzlan memohon pengurangan kerana keluarga tertuduh hanya mampu membayar RM2,000 sahaja.
Mohd. Radzlan juga memberitahu mahkamah, Wan Ji yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas Selangor mempunyai empat anak dan isterinya pula bekerja sebagai guru tadika.
Slamat kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 10 Oktober depan.
Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.
Sebelum itu, Wan Ji yang telah dikenakan waran tangkap ditahan polis di hadapan sebuah restoran di Sungai Buloh, Selangor pada pukul 1.30 pagi semalam.

No comments:

Post a Comment