Translate

Saturday, September 27, 2014

Exco Pas dikurangkan

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali semalam membuat kejutan apabila memilih hanya tiga wakil Pas berbanding empat orang sebelum ini dalam barisan Sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang baharu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan, PKR kini mempunyai empat wakil Exco berbanding tiga orang ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Azmin, 50, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buklt Antarabangsa turut mengekalkan tiga muka lama DAP manakala terdapat tiga muka baharu bagi menggantikan tiga Exco yang digugurkan.
Mereka yang baru dilantik ialah ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan ADUN Batu Caves, Amirudin Shari kedua-duanya daripada PKR dan ADUN Taman Templer, Zaidy Abdul Talib daripada Pas.
Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan, PKR sebelum ini memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Muafakat telah dicapai dan ia turut dipersetujui kepimpinan Pas negeri,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Tujuh lagi anggota Exco yang dilantik merupakan mereka yang telah berkhidmat di bawah pentadbiran Abdul Khalid yang meletakkan jawatan itu pada Selasa lalu.

Sultan Selangor kemudian memperkenan pelantikan itu pada majlis yang diadakan di Istana Alam Shah, Klang dekat sini.

Azmin menafikan perubahan komposisi tersebut sebagai tindak balas terhadap tindakan keempat-empat Exco Pas terbabit yang enggan menyokong pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Abdul Khalid.

Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Presiden PKR memberitahu, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira perkembangan terbaru dan pandangan ketiga-tiga yang menganggotai pakatan pembangkang.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad (Chempaka) dan Bendahari Pas negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dikekalkan dalam barisan Exco itu.

Dua wakil Pas yang digugurkan ialah ADUN Selat Klang, Dr. Halimah Ali yang memegang portfolio Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan dan ADUN Sabak, Sallehin Mukhyi (Hal Ehwal Agama Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa).

Berikutan pengguguran Sallehin, timbul persoalan siapa yang akan memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam yang biasanya disandang oleh wakil dari Pas memandangkan ketiga-tiga Exco yang dilantik bukan golongan ulama.

Tiga Exco dari DAP yang pernah dipecat Abdul Khalid pada 13 Ogos lalu turut dikekalkan oleh Azmin ialah ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) dan V. Ganabatirau (Kota Alam Shah).

Dua lagi ADUN PKR yang kembali menduduki jawatan Exco ialah  Elizabeth Wong Keat Ping (Bukit Lanjan) dan Sementa, Daroyah Alwi (Sementa).

Pas dan DAP mempunyai 15 kerusi di dalam DUN berbanding PKR (13), Barisan Nasional (12) dan Bebas (1).

No comments:

Post a Comment