Fiesta Taiping 2013 tutup tirai dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
TAIPING - Fiesta Taiping 2013 di Dataran Kedamaian, Taman Tasik Taiping di sini berjaya menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran yang berakhir semalam.
Kejayaan itu dapat disaksikan dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum dan pelbagai lapisan yang tidak putus-putus membanjiri lokasi fiesta seawal pukul 8 pagi lagi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, beliau gembira dan bersyukur matlamat Fiesta Taiping 2013 untuk menyalurkan maklumat mengenai agensi kementeriannya kepada penduduk setempat sambil berhibur tercapai.
"Sasaran kita untuk mengetengahkan informasi terkini kepenggunaan disambut baik penduduk di bandar ini.
"Ini terbukti sepanjang tiga hari ini, mereka tidak putus-putus membanjiri Dataran Kedamaian yang menjadi lokasi fiesta dari pagi hingga lewat malam bagi memeriahkan acara yang dianjurkan," katanya selepas merasmikan penutup Fiesta Taiping 2013 di sini semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Shahrom Abd. Malik.
Pada majlis itu, Lian Hoe menghulurkan bantuan peribadi kepada golongan tidak bernasib baik di sekitar Taiping tanda keprihatinannya.
Beliau berkata, Fiesta Taiping merupakan serampang dua mata bagi membantu merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan di bandar itu.
"Berdasarkan maklum balas, pengunjung Fiesta Taiping bukan sahaja penduduk bandar ini malah dari sekitar utara Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
"Sepanjang penganjuran Fiesta Taiping didapati kadar penginapan di hotel-hotel di bandar ini telah melonjak tinggi dan kebanyakan restoran dipenuhi pelanggan," katanya.
Sehubungan itu, Lian Hoe bercadang untuk menjadikan fiesta anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama MPT itu sebagai acara tahunan.
Sebanyak 5,000 naskhah Kosmo! percuma diedarkan kepada pengunjung sepanjang tiga hari fiesta itu.
No comments:
Post a Comment