Translate

Wednesday, March 20, 2013

KDNKK lancar laman Facebook Kids@Kepenggunaan


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING  - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan  Kepenggunaan  (KPDNKK) semalam melancarkan laman Facebook  Kids @ Kepenggunaan  yang merupakan medium menyalurkan ilmu  kepenggunaan  kepada golongan muda.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, pembukaan akaun laman jaringan sosial itu adalah inisiatif KPDNKK untuk mendekati murid dan pelajar sekolah.

"Kita tahu pada hari ini anak-anak kita lebih suka berinteraksi dan mendapatkan maklumat dalam laman jaringan sosial seperti facebook.

"Sehubungan itu, menerusi http://facebook.com/ kids . kepenggunaan  kita salurkan maklumat tentang hak dan tanggungjawab pengguna untuk memberi kesedaran kepada golongan tersebut," katanya selepas merasmikan program  Kids @ Kepenggunaan  : Gerak Gempur Cetak Rompak di Sekolah Kebangsaan (SK) King Edward VII (1) di sini.

Seramai 1,000 murid dari 10 buah sekolah rendah terlibat dalam siri jelajah program tersebut selepas Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

Lian Hoe berkata,  Kids @ Kepenggunaan  yang merupakan program kerjasama KPDNKK dan Kementerian Pelajaran di bawah Strategi Lautan Biru akan memberi pendedahan asas  kepenggunaan  menerusi pendidikan dan permainan interaktif kepada masyarakat sejak di bangku sekolah lagi.

Selain itu, menurut beliau, golongan terbabit juga dididik agar sentiasa menghormati harta intelek dengan tidak membeli cakera padat video dan cakera video digital cetak rompak.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, KPDNKK akan menyediakan insentif RM500 setahun sebagai galakan kepada pengurusan sekolah rendah untuk membuka Kelab Pengguna Sekolah (KPS).

"Setakat ini, semua 2,272 sekolah menengah di seluruh negara sudah membuka kelab itu. KPDNKK merancang untuk memperluaskan keanggotaan kelab kepada sekolah rendah pula.

"Sebagai galakan, bantuan kewangan yang diterima KPS sekolah menengah akan turut diberikan kepada sekolah rendah yang mengambil inisiatif membuka kelab terbabit," katanya.

No comments:

Post a Comment