Translate

Saturday, March 23, 2013

Dua wanita dicari

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BATU GAJAH – Polis mencari dua wanita dalam lingkungan usia 30-an bagi membantu siasatan kes kecurian barangan berharga termasuk wang hantaran RM8,000 yang dilaporkan hilang pada satu majlis kenduri perkahwinan di Taman Permai di sini, 17 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, imej kedua-dua wanita terbabit yang tidak dikenali keluarga pengantin kelihatan pada rakaman video ketika upacara persandingan pengantin berkenaan berlangsung.

“Kebanyakan tetamu yang hadir memeriahkan kenduri perkahwinan tersebut dapat dicam oleh keluarga pengantin, kecuali dua wanita berkenaan.

“Sehubungan itu, mereka diminta tampil ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Shaharon berkata, orang ramai yang mengenali dan mengetahui identiti dua wanita itu turut diminta membantu menyalurkan maklumat kepada polis.


Katanya, bagi mereka yang ingin menyalurkan maklumat tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Razalee Mohd. Yatim di talian 05-3629222 atau hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Kosmo! 19 Mac lalu melaporkan kemeriahan sebuah kenduri perkahwinan bertukar suram selepas keluarga pengantin mendakwa kerugian lebih RM15,000 apabila barangan berharga termasuk wang hantaran RM8,000 dicuri.

Semasa kejadian yang dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang, upacara persandingan sedang berlangsung dan dianggarkan seramai 30 tetamu berada di dalam rumah tersebut.

No comments:

Post a Comment