Translate

Wednesday, March 27, 2013

Kerajaan mampu laksana BR1M setiap tahun


IPOH - Kerajaan mempunyai keupayaan daripada segi kewangan dan pengurusan untuk melaksanakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai inisiatif tahunan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad  Husni  Hanadzlah (gambar) berkata, kemampuan itu adalah berdasarkan kutipan hasil yang semakin meningkat setiap tahun dan dasar perbelanjaan berhemah kerajaan.

"Sejak tahun 2010, Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN ) secara konsisten berjaya mengutip hasil melebihi RM100 bilion termasuk yang tertinggi RM124.8 bilion tahun lalu.

"Kita juga yakin agensi ini mampu mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu RM130 bilion tahun ini," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Wisma  LHDN   Perak  di sini semalam.

Ahmad  Husni  berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan mahu menjadikan BR1M inisiatif tahunan ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara pada Selasa lalu.

Menurut Ahmad  Husni , dasar perbelanjaan berhemah menerusi pendekatan nilai untuk wang bagi setiap pelaksanaan dan pengeluaran tender projek telah banyak menjimatkan wang kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, lebihan hasil dan penjimatan wang kerajaan boleh disalurkan semula kepada rakyat yang memerlukan selaras dengan konsep mensejahterakan rakyat.

Dalam perkembangan sama, Ahmad  Husni  memberitahu, sebanyak 6.1 juta penerima mendapat BR1M 2.0 dan daripada jumlah itu, 4.3 juta adalah penerima isi rumah manakala bakinya penerima bujang.

Katanya, kerajaan menyasarkan semua peruntukan BR1M 2.0 dapat diagihkan sepenuhnya pada 1 April ini.

Tahun lalu, sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan untuk BR1M.

No comments:

Post a Comment