Translate

Tuesday, March 19, 2013

Curi motosikal beli dadah

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Polis memberkas 23 individu kerana disyaki terlibat dalam 100 kes mencuri motosikal di sekitar bandar raya ini sejak November lalu.

Suspek-suspek berusia antara 17 hingga 38 tahun tersebut diberkas secara berperingkat selama enam hari bermula 8 Mac lalu. Mereka merupakan ahli kumpulan Geng Hairo, Geng Kema Pengkalan dan Geng Adik-Beradik Bukit Merah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kesemua suspek merupakan penagih dadah. Motosikal curi itu pula akan dijual pada harga antara RM200 hingga RM300 kepada pengedar dadah.

Katanya, pembongkaran aktiviti ketiga-tiga kumpulan itu bermula apabila polis menahan 11 ahli Geng Hairo pada 8 Mac lalu dalam Ops Lejang.

"Dua daripada mereka diberkas pada pukul 6 petang di depan sebuah bank di Jalan Sultan Yusof di sini manakala bakinya ditahan di sekitar Tanjung Rambutan, Lahat dan Menglembu beberapa jam kemudian.

"Selain tangkapan, polis turut merampas tiga kekunci L, lima buah motosikal dan sejumlah komponen motosikal yang telah dileraikan. Ketua kumpulan mereka bergelar Hairo, 30, dan mempunyai lima rekod jenayah," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, 10 ahli Geng Kema Pengkalan pula diberkas di sekitar Pasir Puteh, Simpang Pulai dan Lahat keesokan harinya.

Menurut Mohd. Shukri, dua beradik bergelar Geng Adik-Beradik Bukit Merah pula diberkas pada pukul 7.45 malam pada 13 Mac lalu di Menglembu dan Bukit Merah dekat sini.

Difahamkan, ketiga-tiga sindiket tidak berkaitan antara satu sama lain.

"Kita turut menemui enam rangka dan lima enjin motosikal yang dibuang di dalam lombong di Taman Pinji Mewah, Simpang Pulai dan Sungai Kinta," katanya.



No comments:

Post a Comment