Translate

Friday, March 22, 2013

Karnival jualan di RTC Gopeng bermula Sabtu ini hingga 31 Mac


GOPENG - Karnival Florikultur yang membabitkan jualan pelbagai hasil produk seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan herba dari Cameron Highlands, Pahang akan dianjurkan
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bermula Sabtu ini hingga 31 Mac ini.

Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat FAMA, Noor Azian Mustafa berkata, karnival yang berlangsung sepanjang musim cuti penggal persekolahan itu berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 malam.

“Kita dapati ramai pengunjung akan mengambil kesempatan daripada musim cuti sekolah kali ini  untuk berkunjung ke Cameron Highlands bagi mendapatkan sayur-sayuran segar.

“Namun bukan semua orang dapat ke pusat peranginan tersebut. Sehubungan itu, FAMA mengambil  inisiatif untuk membawa konsep sama ke RTC Gopeng bagi membolehkan penduduk setempat memperolehi produk pertanian secara terus dari situ dengan lebih mudah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Noor Azian menjelaskan, selain pasar lambak di kawasan Agromall, 60 gerai pameran turut disediakan di kawasan letak kereta berhampiran Hentian Sebelah RTC Gopeng sepanjang karnival tersebut.

Beliau berkata, pelbagai acara sampingan menarik seperti pertandingan gubahan bunga, demonstrasi masakan, ceramah agama dan klinik futsal akan diadakan sebagai tarikan kepada pengunjung.

“Selain masyarakat setempat, kita harap karnival ini turut menarik pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan untuk mengunjungi lokasi ini menerusi Hentian RTC Gopeng,” katanya.

No comments:

Post a Comment