Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
KUALA KANGSAR - Sebanyak 248 pelatih Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Tangkas Kendiri , Sauk dekat sini mula berpindah ke sembilan kem lain di Perak, Kedah dan Kelantan semalam.
Pemindahan itu berikutan kem tersebut dikenakan tindakan sita oleh mahkamah pada 22 Mei lalu ekoran masalah hutang pemiliknya.
Proses pemindahan itu bagaimanapun menimbulkan perasaan sedih dalam kalangan pelatih terbabit.
Rata-rata pelatih, baik lelaki mahupun perempuan dilihat agak beremosi sehingga ada yang menitiskan air mata sambil berpelukan antara satu sama lain kerana sebahagian mereka terpaksa berpisah ke kem berlainan.
Salah seorang pelatih, Lee Hoi Yan, 18, berkata, dia dan rakan-rakan mengetahui mengenai pengosongan Kem PLKN Tangkas Kendiri itu setelah diberi penerangan oleh jurulatih dan pegawai Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) termasuk Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
"Secara jujur, saya sedih kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawan. Hubungan kami tanpa mengira kaum sudah mula rapat walaupun baru berkenalan selama 28 hari sejak mendaftar masuk ke kem ini pada 1 Mei lalu," katanya kepada Kosmo!ketika ditemui di Kem Tangkas Kendiri semalam.
Abdul Hadi turut hadir memantau pemindahan 248 pelatih PLKN terlibat yang mula meninggalkan pekarangan kem berkenaan dengan menaiki tujuh buah bas.
Seorang lagi pelatih, T. Thaneswary, 18, berkata, biarpun sedikit sedih, dia optimis untuk terus menimba ilmu dan kemahiran dalam persekitaran dan rakan-rakan baharu kelak.
Sementara itu, Abdul Hadi menjelaskan, tindakan memindahkan semua pelatih Kem PLKN Tangkas Kendiri itu bertujuan memastikan pelatih berkenaan dapat meneruskan modul latihan mereka.
Katanya, sebahagian besar pelatih kem tersebut iaitu seramai 161 orang dipindahkan ke lima kem di sekitar Perak iaitu Kem Nilam Ehsan, Bidor; Kem Jiwa Murni, Kamunting; Kem Teluk Rubiah, Manjung; Kem Segari, Lumut; Kem Sentosa, Chenderiang dan Kem Desa Rimba, Chenderoh.
Tambahnya, baki pelatih lain pula ditempatkan di Kem Batu Jong, Kuala Krai dan Kem Cancun Park, Pasir Mas di Kelantan serta Kem Rekreasi Belia, Baling, Kedah.
Sementara itu, pengurus kem berkenaan, Amir Hashim Yot berkata, pihaknya sudah mencari jalan penyelesaian untuk melunaskan hutang kepada sebuah syarikat pembekal yang menjadi punca mahkamah mengeluarkan notis menyita peralatan kem itu.
"Masalah ini dijangka selesai dua, tiga hari lagi. Selepas masalah dalaman kami selesai, saya akan rayu agar penempatan pelatih PLKN akan diteruskan semula pada sesi akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment