Translate

Tuesday, May 29, 2012

Ekonomi mampu capai sasaran lima peratus

 IPOH - Kerajaan optimis terhadap perkembangan ekonomi negara pada tahun ini dan menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lima peratus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh walaupun sektor eksport agak perlahan kerana kelembapan ekonomi dunia.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kepada prestasi suku tahun pertama yang dicatat pada 4.7 peratus dan ia dilihat sebagai kadar yang menepati ramalan Bank Negara Malaysia yang menyatakan perkembangan sebanyak 4.5 peratus merupakan satu statistik yang munasabah.

“Pertumbuhan 4.7 peratus boleh disifatkan agak tinggi. Sebagai perbandingan, pada tempoh sama, Amerika Syarikat mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus, Jepun (2.7 peratus), Hong Kong (0.4 peratus), Taiwan (0.4 peratus), Singapura (1.6 peratus), China (8.1 peratus) dan
Thailand (0.3 peratus),” katanya..

Beliau berkata demikian selepas merasmikan deretan 11 kedai rakyat Spring Bandar di Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi di sini semalam.

Baru-baru ini, Gabenor bank pusat, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan pada suku pertama telah melebihi jangkaan tatkala ia dicatatkan pada suasana di tengah-tengah penurunan eksport bersih negara sebanyak 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ahmad Husni menerangkan, faktor penggunaan dan pelaburan swasta, negara masih mampu bergantung kepada eksport komoditi negara seperti minyak, kelapa sawit dan getah yang masih tinggi.

"Sebanyak 38 peratus eksport negara kita ke Singapura, Jepun dan China sementara negara-negara di Kesatuan Eropah (EU) pula menyumbang sebanyak 9.5 peratus dan daripada jumlah itu sebanyak 74 peratus daripada nilai eksport ke EU melibatkan Jerman, Belanda, Perancis dan United Kingdom,” katanya.

Tambah beliau, daripada jumlah eskport ke EU itu, lima negara yang berdepan krisis ekonomi seperti Greece, Sepanyol, Itali, Portugal dan Ireland pula hanya menyumbang kepada 0.7 peratus dengan nilai sebanyak RM1.2 bilion,” katanya.

"Meskipun Malaysia turut merasai kesan dari negara-negara Asia yang berurus niaga dengan wilayah dilanda krisis, namun inisiatif domestik akan meningkat menerusi perbelanjaan kerajaan seperti digariskan dalam Belanjawan 2012,” katanya.

No comments:

Post a Comment