BATU GAJAH - Seorang suri rumah yang sedang menyiapkan makan malam dikejutkan dengan penemuan seekor ular tedung selar sepanjang tiga meter di dapur rumahnya di Kampung Papan Lama, Pusing dekat sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, ular tedung selar itu sedang melingkar di belakang sebuah almari dapur tidak jauh dari kedudukan Ching Chee Meng, 39, sibuk memasak.
Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Halid Md. Zain berkata, pada mulanya wanita itu menjangkakan objek hitam yang bergerak-gerak itu adalah seekor kucing.
“Oleh kerana curiga, dia telah menyelidik belakang almari dapur berkenaan dan terperanjat apabila mendapati ia sebenarnya seekor ular tedung selar.
“Chee Meng kemudiannya menghubungi pihak kami untuk meminta pertolongan kecemasan,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah di sini semalam.
Halid berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah telah bergegas ke rumah suri rumah itu daan haiwan berbisa itu dapat ditangkap setengah jam kemudian.
No comments:
Post a Comment