Translate

Sunday, May 20, 2012

Peniaga pasar malam ditahan bawa pistol

IPOH - Perlakuan mencurigakan seorang lelaki bermotosikal apabila terserempak dengan kereta peronda polis membawa kepada penemuan sepucuk pistol di dalam beg sandang yang dibawanya di Seri Manjung dekat sini.

Dalam kejadian pukul 1 pagi Jumaat lalu, penunggang motosikal jenis Yahama Ego itu tiba-tiba bertindak memecut motosikal setelah bertembung dengan kereta peronda polis yang dipandu Inspektor Roslan Mad Suki berhampiran sebuah stesen minyak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ekoran itu, polis mengejar lelaki berusia 34 tahun itu sejauh lima kilometer sebelum motosikal terbabit terbabas.

"Polis berjaya menahan lelaki terbabit dan menemui sepucuk pistol semi auto colt, satu kelopak peluru, lapan butir peluru Cal.38 semi auto dan empat telefon bimbit dalam beg sandang milik suspek," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontijen Perak di sini semalam.

Katanya, suspek yang merupakan peniaga pasar malam dan berasal dari Gerik telah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment