Translate

Thursday, May 3, 2012

Reka cerita selepas bunuh bapa

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Tembelang seorang remaja yang datang ke balai polis kononnya untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat bapanya terbongkar apabila dia ditahan selepas disyaki menikam perut peniaga kayu itu sampai mati dalam kejadian di Taman Bersatu, Simpang Pulai dekat sini semalam.

Kejadian pada pukul 1 pagi itu menyebabkan Jaswant Singh, 40, mati di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah teres dua tingkat tersebut selepas disyaki ditikam bertubi-tubi dengan dua bilah pisau oleh anaknya yang berusia 15 tahun.

Difahamkan, anak sulung daripada dua beradik itu bertindak demikian selepas dia tidak tahan melihat perlakuan ganas bapanya yang sering memukul ibunya selain rimas dengan masalah keluarga yang dialami mereka.

Setengah jam kemudian, dia pergi ke Balai Polis  Simpang   Pulai  dekat sini untuk melaporkan penemuan mayat ahli perniagaan tersebut dengan mereka-reka cerita kononnya bapanya menjadi mangsa penjenayah yang memecah masuk rumah mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek memberitahu yang dia menemui mayat bapanya dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah dengan kesan tikaman di perut.

"Dia mengesyaki rumahnya telah dipecah masuk selepas mendapati salah satu pintu rumahnya di tingkat atas terbuka.

"Bagaimanapun, polis yang curiga dengan keterangan suspek kemudian telah menahannya selepas mendapati kedua-dua belah tangannya cedera seolah-olah dia telah terlibat dalam pergelutan," katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, selepas disoal siasat, suspek akhirnya mengaku yang dia telah menikam bapanya sampai mati sebelum membawa polis ke tempat dia membuang dua bilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan tersebut.

Menurut Dzuraidi, pisau itu dibuang di sebuah padang di Kampung Baru  Simpang   Pulai  kira-kira satu kilometer dari rumahnya sebelum dia datang untuk membuat laporan palsu.

"Polis turut merampas sebuah kereta Mercedes-Benz milik Jaswant yang dipercayai dipandu suspek untuk membuang barang bukti untuk membantu siasatan," katanya yang memberitahu ketika kejadian ibu suspek yang berusia 35 tahun dan adiknya, 13, tidak berada di rumah.

Ujar Dzuraidi, siasatan awal mendapati motif pembunuhan tersebut ialah kerana suspek tertekan melihat ibunya yang sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Mayat Jaswant dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat dan suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Isteri mangsa enggan ditemu bual kerana masih trauma dengan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment