IPOH - Derita seorang remaja yang mengalami penyakit tulang belakang bengkok bakal berakhir tidak lama lagi setelah dana bagi membiayai kos pembedahannya diperoleh baru-baru ini.
Ng Siew Hoong , 18, dari Kampung Baru Chendrong, Batu Gajah dekat sini bersyukur apabila tabung bantuan yang dilancarkan Biro Pengaduan MCA Perak pada akhir Mac lalu telah mengumpul sebanyak RM47,000.
"Wang itu mencukupi untuk membolehkan saya menjalani pembedahan membetulkan semula tulang belakang di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya selewat-lewatnya September depan.
"Terima kasih kepada semua yang menderma. Masa depan saya yang dahulu seakan-akan gelap kini mula nampak sinar, ia umpama memberi talian hayat kepada saya," katanya selepas menerima replika cek bantuan itu daripada Pengerusi Biro Pengaduan MCA Perak, Datuk Lee Kon Yin di sini baru-baru ini.
Turut hadir bapanya, Ng Kam Loong, 62, yang menyara hidup keluarga mereka dengan pendapatan daripada bengkel basikal.
Menceritakan penyakitnya, Siew Hoong berkata, dia mula disahkan menghidap penyakit tulang belakang bengkok itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini kira-kira dua tahun lalu.
Menurutnya, penyakit itu menyebabkan tulang belakangnya membengkok seperti huruf 'S' yang menyebabkannya mengalami kesukaran bergerak.
"Jika tidak dirawat segera, saya mungkin mengalami gejala bongkok dan paling serius bakal lumpuh seumur hidup," katanya.
Sementara itu, Kon Yin memberitahu, selain derma orang ramai, Yayasan Perubatan 1 MCA turut menyumbang RM15,000 untuk dana perubatan remaja berkenaan.
No comments:
Post a Comment