IPOH - Seorang warga emas bukan sahaja kehilangan wang tunai RM1,800 malah hampir lemas dicekik dua lelaki dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Bercham di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, kad pengenalan Low Soon Cheng, 87, turut dilarikan dua penyamun yang melindungi wajah mereka dengan memakai topi keledar bertutup penuh.
Soon Cheng yang tinggal bersendirian berkata, semasa kejadian, dia didatangi dua lelaki terbabit ketika sedang sibuk mengelap cermin pintu dan tingkap di hadapan rumahnya.
"Kedua-dua lelaki itu mendakwa diminta oleh anak lelaki saya untuk membaiki paip air yang rosak. Saya yang berasa curiga cuba berlari masuk ke dalam rumah.
"Namun belum sempat saya mengunci pintu, dua penjenayah itu dapat menangkap saya selepas masuk ke kawasan rumah dengan melompat pagar hadapan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bercham di sini semalam.
Soon Cheng berkata, salah seorang daripada penjenayah terbabit bertindak mencekik leher dan memukul mukanya.
Namun dia terselamat daripada terus dicederakan setelah menurut arahan dua penyamun tersebut agar menyerahkan dompet miliknya yang disimpan di dalam poket seluar sebelum kedua-dua mereka melarikan diri.
No comments:
Post a Comment