Translate

Saturday, August 20, 2011

Dua lanun Indonesia dijel, sebat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Dua lanun warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku salah menyamun sebuah bot nelayan tempatan di perairan Pulau Jarak, Manjung dekat sini pada 7 Ogos lalu semalam.

Hakim Julie Lack Abdullah dalam penghakimannya berkata, alasan Mohammad Ali, 27, dan Aman Hassan, 30, yang mendakwa terpaksa menjadi lanun kerana dipaksa pemiutang tidak dapat diterima.

“Alasan kedua-dua tertuduh tidak dapat diterima mahkamah memandangkan jenayah yang dilakukan amat serius dan mengancam keselamatan Malaysia,” katanya ketika membacakan keputusan penghakimannya di sini semalam.

Terdahulu Mohammad dan Aman yang tidak diwakili peguam ketika prosiding merayu minta diringankan hukuman kerana terpaksa menjadi lanun bagi melunaskan hutang.

“Saya perlu wang kerana isteri saya melahirkan anak kedua melalui pembedahan dan anak saya itu kini sakit. Saya pinjam wang dan terpaksa buat kerja ini (lanun) untuk langsai hutang,” kata Aman kepada mahkamah.

Mohammad juga menjelaskan dia juga terpaksa menjadi anggota kepada sekumpulan lanun diketuai seorang lelaki bernama Chang Kui bagi menjelaskan hutang.

“Semua ini gara-gara hutang. Saya menyesal dan mahu membahagiakan orang tua saya kerana sebelum ini saya tidak pernah membahagiakan mereka,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, sekumpulan lima lanun termasuk kedua-dua tertuduh telah menceroboh sebuah bot nelayan tempatan yang sedang berlabuh di perairan Pulau Jarak pada pukul 2.30 pagi 7 Ogos lalu.

Sebaik menyerbu bot nelayan terbabit dengan bersenjatakan dua senapang jenis AK-47 dan sepucuk pistol, kumpulan lanun diketuai Chang Kui itu telah menawan semua anak kapal nelayan tanpa pengetahuan tekong bot yang berada di rumah jurumudi.

Tekong bot nelayan terbabit kemudiannya diserang Mohammad dan Aman di dalam rumah jurumudi selain kepalanya diacu pistol sebelum sistem navigasi dan radio bot nelayan tersebut dirampas.

Tiga lanun lain termasuk Chang Kui meninggalkan bot nelayan itu di bawah kawalan kedua-dua tertuduh yang kemudiannya mengemudi bot itu menuju ke Indonesia sebelum dipintas sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) pada kira-kira pukul 3.30 pagi.

Ekoran dikepung, Mohammad dan Aman bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam laut bersama senapang masing-masing sebelum berjaya diberkas kira-kira 40 batu nautika dari barat Pulau Jarak pada pukul 8.05 pagi.

Siasatan di atas bot nelayan terbabit menjumpai sebuah beg yang mengandungi barangan milik kedua-dua tertuduh seperti 191 butir peluru pelbagai jenis dan dua kelopak peluru.

Mohammad dan Aman yang berasal dari Perlak, Acheh, Indonesia didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta sama.

Tiga lagi lanun termasuk ketuanya, Chang Kui berjaya melepaskan diri dan masih diburu walaupun telah dikepung kapal diraja Laksamana Hang Nadim milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada malam kejadian.

No comments:

Post a Comment