KUALA LUMPUR - Kerajaan Terengganu, Pahang, Kelantan, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan merupakan enam kerajaan negeri yang setakat ini mengumumkan keputusan untuk mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini.
“Kalau kerajaan pusat beri bonus, kita pun akan bagi sebagaimana jumlah yang dibayar kepada penjawat awam,” kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.
Katanya, ia melibatkan 20,000 penjawat awam termasuk pekerja badan berkanun.
Ahmad berkata, bayaran itu melibatkan peruntukan RM10 juta.
Di Kuantan pula Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pembayaran bonus di melibatkan 12,570 penjawat awam di negeri itu.
Adnan menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya pemberian bonus itu satu pembaziran sebaliknya ia bagi menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam membangunkan negara.
Sementara itu, di Kota Bharu, kerajaan negeri Kelantan akan turut membayar bonus setengah bulan gaji kepada 6,000 penjawat awamnya serta bayaran khas RM500 untuk para pesara.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewa ngan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan Kelantan akan menanggung kos RM5 juta bagi membiayai pembayaran itu.
Menurutnya, langkah itu diharapkan dapat meringankan beban kakitangan kerajaan negeri bagi membuat persediaan menyambut hari raya Aidilfitri tahun ini.
Di Shah Alam, kerajaan negeri Selangor mengikut jejak langkah kerajaan Pusat apabila mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada semua kakitangannya sempena hari raya Aidilfitri.
Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bonus tersebut diberikan supaya tidak ada diskriminasi terhadap kakitangan kerajaan negeri dan kewangan Selangor mengizinkan pemberian tersebut.
Di Ipoh, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri menyambut baik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lepas.
Beliau berkata, bayaran itu melibatkan peruntukan RM6.5 juta.
Di Seremban, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pemberian bonus setengah bulan kepada 4,800 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri Negeri Sembilan.
Katanya, pemberian bonus itu menyebabkan kerajaan negeri mengeluarkan belanja sebanyak RM4.8 juta.
No comments:
Post a Comment