Translate

Monday, August 8, 2011

Peniaga mati ditikam gunting

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

IPOH - Dalam tempoh empat hari, negeri ini digemparkan dengan tiga kes di mana penjenayah bertindak membunuh pemilik rumah yang diceroboh mereka.

Kejadian terbaharu melibatkan seorang warga emas, Looi Kim Loong, 67, apabila dia ditemui mati dibunuh selepas dua penjenayah yang memecah masuk rumahnya menikam lehernya dengan sebilah gunting dalam kejadian di Taman Buntong Ria, Menglembu dekat sini semalam.

Difahamkan, sebelum kejadian pukul 2.10 pagi itu, peniaga tersebut sedang tidur di dalam bilik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati suspek memecah masuk melalui pintu depan.

"Dua lelaki kemudian masuk ke dalam bilik mangsa sebelum isteri dan anak Kim Loong yang tidur di bilik berasingan terjaga.

"Sebaik masuk, mereka dapati mangsa telah rebah dengan kesan tikaman di leher manakala dua lelaki itu telah melarikan diri. Kita sedang menyiasat barang yang disamun," katanya.

Tambahnya, polis sedang mencari dua lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu merupakan yang ketiga dalam tempoh kurang empat hari membabitkan kes pecah rumah yang berakhir dengan kematian di Perak.

Khamis lalu Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, 38, dibunuh oleh empat lelaki yang memecah masuk rumahnya di Tambun dekat sini.

Dua hari kemudian, Teoh Ah Nya @ Teoh Kooi Lan, 73, yang juga ibu saudara Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Sai turut dibunuh penjenayah dalam kejadian serupa di Bagan Selatan, Tanjung Piandang dekat sini.

No comments:

Post a Comment