Translate

Tuesday, August 9, 2011

Tujuh korban tanah runtuh


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

CAMERON HIGHLANDS - Enam sekeluarga disahkan antara tujuh mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata di sini kelmarin.
Enam sekeluarga itu ialah Jaafar Balad, 48; isterinya, Normah Gunung, 51; anaknya, Mohd. Ikbal, 15; menantu, Yusniza Yusof, 22; adik ipar, Sara a/p Gunung, 37; dan ibu mentua, Normadiah Lasik, 69.
Turut terkorban dalam tragedi pukul 5.45 petang di perkampungan yang telah diduduki lebih 40 tahun lalu ialah jiran mereka, Mat Ali a/l Ah San, 50.
Dua lagi penduduk lain, Bah Anjang Besar a/l Alang, 39, dan Serry Priary a/p Saari, 15, pula cedera parah. Mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata di sini.
Seorang penduduk Aida Uda, 29, memberitahu, kejadian tersebut begitu menakutkan kerana dalam sekelip mata, tiga buah rumah jirannya ranap dihempap tanah yang turut membawa pusaran air dan pokok.
Katanya, dia melihat Bah Anjang Besar terpelanting keluar dari rumahnya sebelum diselamatkan manakala yang lain hilang 'ditelan' tanah.
"Ketika kejadian saya dan dua anak sedang tidur sebelum hujan turun disusuli bunyi guruh seperti letupan hingga menggegarkan rumah saya di lereng atas.
"Tanpa berlengah saya membawa dua anak untuk lari dan sebaik membuka tingkap, saya lihat air deras bergulung-gulung yang turut membawa pokok dan tanah menghempap rumah yang berada di bawah," ceritanya.
Ibu Jaafar, Munjut a/p Kelet, 70, berkata, dia terpaksa menggunakan tangannya untuk menggali tanah bagi menyelamatkan ahli keluarganya tetapi gagal.
Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah lain berdekatan rumah Jaafar.
"Ketika lari, saya sempat tinjau rumah Jaafar dan terperanjat kerana ia telah lenyap. Saya kemudian menggali tanah dengan tangan untuk menyelamatkan mereka yang tertimbus namun gagal," ceritanya.
Tambahnya, dua cucunya, Sukarnain, 18 dan Norfifah, 20, terselamat kerana tidak berada di rumah ketika kejadian.
Menurut Munjut, semasa kejadian, Jaafar, Normah dan Mohd. Ikbal yang baru setahun memeluk Islam sedang menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Supritendan Wan Zahari Wan Busu berkata, seramai 100 anggota keselamatan dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat. Mayat pertama yang ditemui ialah Normadiah pada pukul 6.15 petang.
"Seterusnya kita menemui mayat Mat Ali pada pukul 10.32 malam dan mayat Jaafar dua jam kemudian. Tidak lama kemudian, kita menemui mayat Mohd. Ikbal, Sara, Normah dan Yusniza," katanya yang memberitahu dua mangsa yang terselamat ditemui oleh penduduk pada awal kejadian.
Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil terletak dua kilometer dari Jalan Brinchang-Tanah Rata dan didiami 1,300 penduduk.

No comments:

Post a Comment