Dia sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai Ipoh (HPI) sebelum dipindahkan ke wad biasa pada pukul 3 petang semalam.
Namun Malek, 56, meminta tidak ditemubual oleh wartawan sebaliknya hanya bercerita melalui Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong yang datang melawatnya semalam.
Malek yang mengaku dia tidak tahu menghidap penyakit jantung, tidak putus-putus mengucap kalimah syahadah sepanjang perjalanan ke hospital.
“Masa itu saya ingat hendak mati sahaja dan terbayang pengalaman menunaikan ibadah umrah seminggu lalu,’’ katanya kepada Zolkples.
Turut sama melawat Malek ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Mumtaz Jaafar.
Menurut Malek, ketika diserang sakit jantung, dia sempat berpaut pada palang gol dan menjerit meminta bantuan.
“Pada mulanya saya fikir ada masalah angin sebab masa itu perut kembung sampai jersi penjaga gol yang dipakai tiba-tiba jadi ketat," katanya.
Dia juga mengaku tiga jam sebelum perlawanan ada memakan banyak durian dan minum air kelapa muda.
Namun Malek mendakwa sebelum kejadian dia cergas dan sempat melakukan senaman pemanas badan untuk persediaan perlawanan Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak itu pada malam Rabu lalu.
Oleh sebab itu dia pada mulanya enggan percaya apabila beberapa pakar perubatan mendakwa kejadian itu akibat sakit jantung.
"Apa pun, Alhamdulillah, bagi saya ini petanda untuk berjaga-jaga (jaga kesihatan), tidak jadi seperti ini, saya pun tidak tahu ada masalah jantung," katanya.
Sementara itu, pakar perubatan jantung HPI, Dr. Chan Chong Chuan berkata, tahap kesihatan Malek mula menunjukkan perkembangan positif.
Namun katanya, bekas atlet tersebut masih perlu menjalani rawatan susulan sekurang-kuranya seminggu lagi.
Adik bongsu Malek, Mohd. Salleh, 49, pula memberitahu keluarganya bersyukur abang mereka semakin ceria dan bersemangat.
“Kami bercadang untuk memindahkan abang ke Hospital Pantai Kuala Lumpur dalam masa terdekat bagi mem bolehkan lebih ramai ahli keluarga menjenguk beliau.
“Saya juga terharu dengan keprihatinan MSN dan Yakeb dalam menjaga kebajikan abang saya,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Malek tidak henti-henti menangis sejurus beliau sedar kerana amat terharu di kelilingi beberapa orang adik-beradiknya yang datang dari Johor.
No comments:
Post a Comment