Translate

Monday, April 4, 2011

PIUP mula beroperasi hujung bulan ini

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Universiti Antarabangsa Premier Perak (PIUP) akan memulakan sesi akademik sulungnya pada akhir bulan ini di kampus sementara di Jalan Raja Permaisuri Bainun di sini.

Menteri Besar Perak , Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memberitahu, universiti itu ditubuhkan dengan kerjasama Blair Education Services Sdn. Bhd. dan sebuah konglomerat dari India, Maan Srovar Group.

"Kampus tetap PIUP bakal dibina di tanah seluas 100 hektar berhampiran Gua Tempurung, Gopeng dan ia kini dalam proses akhir pemilihan reka bentuk.

"Pada sesi kemasukan pertama pada akhir bulan ini dan Mei depan, universiti tersebut menawarkan program asasi untuk kursus farmasi, komputer sains komputer dan pentadbiran perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima replika cek biasiswa RM1.5 juta bagi pihak kerajaan negeri Perak daripada Ahli Lembaga PIUP, Datuk S. Veerasingam di sini semalam.

Turut hadir Naib Canselor PIUP, Professor Emeritus Datuk Dr. V. G. Kumar Das.

Zambry berkata, biasiswa itu akan diperuntukkan kepada 150 pelajar kelahiran Perak bagi mengikuti pengajian program asasi di universiti tersebut pada sesi akademik pertamanya.

Sehubungan itu, beliau mempelawa lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memohon masuk ke PIUP melalui laman web www.piup.edu.my bagi membolehkan mereka disenarai pendek untuk menerima biasiswa tersebut.

No comments:

Post a Comment