Translate

Saturday, April 2, 2011

Malek tidak henti menangis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azliadlan@kosmo.com.my

IPOH - Suasana sedih menyelubungi Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai Ipoh (HPI) di sini semalam apabila bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor tidak henti-henti menangis sejurus beliau sedar tengah hari semalam.

Mr. Asia sebanyak enam kali itu amat terharu apabila mendapati beliau dikelilingi beberapa orang adik-beradiknya yang datang dari Johor untuk melawat beliau sejak malam kelmarin.

Menurut adik bongsu Malek, Mohd. Salleh, 49, abang ketiganya itu mula sedar pada pukul 12.15 tengah hari selepas diberi ubat penenang bagi rawatan jantung yang dijalaninya.

“Sebaik tersedar, beliau tak banyak bercakap tetapi menangis tak henti-henti. Katanya, dia terharu melihat kami adik-beradik datang menziarahinya.

“Biarpun masih lemah, abang tetap meluangkan masa untuk berbual sebentar dengan ahli keluarga yang melawatnya.

"Semasa kami tiba di HPI dari Bukit Indah, Johor Bahru pada pukul 11 malam semalam (kelmarin), Malek masih belum sedar," katanya ketika ditemui di perkarangan ICU HPI di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Malek dikejarkan ke sebuah hospital swasta di sini selepas mengalami sesak nafas akibat serangan jantung malam Rabu lalu.

Ketika kejadian, beliau sedang menyertai perlawanan bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak di sini.

Beberapa ahli keluarga terdekat Malek termasuk dua adik-beradik perempuannya, Rohaya dan Salbiah turut berada di hospital.

Mohd. Salleh berkata, abangnya itu kini semakin stabil dan dia mula memberikan respons positif semalam.

Sementara itu, pakar perubatan jantung HPI, Dr. Chan Chong Guan berkata, pemeriksaan kesihatan mengesahkan serangan jantung Malek berpunca daripada dua saluran jantungnya tersumbat.

“Tahap kesihatan Malek masih dipantau rapi dan jika kesihatannya semakin stabil, dia akan dipindahkan ke wad biasa dalam tempoh dua, tiga hari lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment