Translate

Saturday, April 23, 2011

Skim pinjaman mudah diwujudkan

IPOH - Satu skim pinjaman mudah bakal diperkenalkan untuk membantu golongan pendapatan rendah melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia, salah satu produk pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembayaran balik skim pinjaman mudah itu hanya akan dilunaskan melalui dividen yang akan diagihkan bagi produk pelaburan terbabit pada setiap akhir tahun kewangan.

“Berdasarkan perbincangan dengan PNB, melalui skim pinjaman mudah ini, ia akan memberi peluang seluas-luasnya kepada golongan berpendapatan rendah untuk menyertai skim tersebut sekaligus ia akan memberi jaminan masa depan kepada mereka.

“Skim ini sedang dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Kewangan. Butirannya akan diumumkan saya dalam sedikit masa lagi,” katanya selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Najib menjelaskan pengenalan skim pinjaman mudah tersebut bertujuan untuk meningkatkan penyertaan golongan berpendapatan rendah dalam unit saham amanah.

Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan objektif asal penubuhan PNB untuk memperbetul kepincangan ekonomi dan merapatkan jurang pendapatan antara kaum.

“Pada hari ini (semalam), genap 30 tahun usia skim unit amanah sulung PNB, Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dilancarkan.

“Kita boleh berbangga kerana telah berjaya menguasai beberapa syarikat berjenama penjajah seperti Sime Darby Berhad dan Kumpulan Island and Peninsular dengan dana rakyat melalui PNB,” katanya.

Najib berkata, menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP), beliau yakin syarikat senaraian PNB terbabit mempunyai prospek cerah untuk berkembang.

Menurut beliau, ia secara tidak langsung memberi keyakinan kepada rakyat untuk meningkatkan pelaburan dalam unit saham amanah.

No comments:

Post a Comment