Translate

Wednesday, April 20, 2011

1,000 kamera kesan kesalahan trafik

IPOH - Sebanyak 1,000 kamera yang dilengkapi Sistem Penguatkuasaan Automatik ( AES ) akan dipasang di 500 lokasi yang sebahagian besarnya dikenal pasti sebagai laluan berisiko tinggi kemalangan maut mulai 1 September depan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, semua kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya akan direkodkan melalui kamera automatik itu dan saman dikeluarkan serta-merta melalui sistem komputer Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Saya baru lepas menghadiri persidangan bagi membincangkan persediaan pelaksanaan AES melibatkan JKJR, Kementerian Pengangkutan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tadi (semalam)."

AES mampu meningkatkan kecekapan penguatkuasaan kesalahan trafik daripada 25 peratus kepada 95 peratus,"

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Pemakaian Topi Keledar di Jalan Raja Muda Musa di sini semalam.

Suret berkata, kempen keselamatan jalan raya perlu disokong elemen lain seperti penguatkuasaan, kejuruteraan, persekitaran selamat dan program penilaian untuk mencapai sasaran.

"AES dilihat boleh memberi kesan maksimum kerana kamera rakamannya beroperasi 24 jam," katanya.

Sistem AES yang telah digunakan secara meluas di negara maju seperti Australia, Britain dan Amerika Syarikat akan membolehkan saman trafik dikeluarkan serta-merta terhadap pesalah trafik.

No comments:

Post a Comment