Translate

Wednesday, April 20, 2011

Polis palsu akhir masuk lokap

IPOH - Tembelang seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dengan niat untuk memeras ugut beberapa peniaga Pasar Pasir Pinji di sini pecah apabila dia ditangkap dan disumbat ke dalam lokap semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, sekumpulan penduduk setempat diketuai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kevin Chang yang curiga dengan perlakuan lelaki berusia lingkungan 40-an tersebut telah bertindak mengepungnya.

Kevin berkata, beliau dihubungi beberapa peniaga pasar terbabit tentang kelibat seorang 'anggota polis ' yang mencurigakan sedang melakukan operasi penguatkuasaan bersendirian.

"Anggota polis itu mendakwa peniaga terlibat melakukan kesalahan menjual barangan seperti buah-buahan dan bawang melebihi harga ditetapkan dan mahu bertindak merampas barangan jualan tersebut.

"Pelik kerana hanya seorang anggota polis melakukan penguatkuasaan barangan kawalan yang sepatutnya dilakukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya kepada pemberita setelah membuat laporan di Balai Polis Pasir Pinji di sini semalam.

Sehubungan itu, Kevin berkata, beliau telah menghubungi Pengerusi Rukun Tetangga (RT) Taman Pinji , Tan Seong Fatt untuk meminta bantuan sebelum bersama-sama menjejak lelaki terbabit di Pasar Pasir Pinji .

Menurut beliau, akibat terlalu panik dikepung penduduk, lelaki itu menunjukkan gambar dia memakai pakaian seragam polis dan tali pinggang berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai bukti kononnya dia anggota pasukan keselamatan tersebut.

"Helahnya itu tidak berjaya mengaburi kami dan beliau kemudiannya ditahan sebelum diserahkan ke Balai Polis Pasir Pinji kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

"Kami juga difahamkan kereta lelaki itu juga mempunyai pelekat PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias yang dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau memberitahu siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut juga pernah memiliki satu rekod jenayah lampau iaitu Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam.

No comments:

Post a Comment