Translate

Thursday, April 14, 2011

14 individu buat kecoh ditahan

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan
MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Seramai 14 individu termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. S. Jeyakumar ditahan polis kerana menyertai perhimpunan haram di hadapan Bangunan Darul Ridzuan di sini yang menjadi lokasi Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak semalam.

Penahanan lima wanita dan sembilan lelaki termasuk Setiausaha Kebangsaan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf), P. Ramesh itu dibuat selepas mereka enggan bersurai walaupun amaran telah dikeluarkan oleh pihak polis.

Mereka yang merupakan sebahagian daripada 40 penduduk Kampung DBI Buntong mula berhimpun dan berarak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini sejak pukul 10.30 pagi.

Dengan membawa sepanduk dan kain rentang, kumpulan penunjuk perasaan terbabit kemudian mahu bertemu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bagi menyelesaikan masalah penempatan setinggan mereka.

Walaupun lima wakil kumpulan itu dibenarkan menyerahkan memorandum di pintu masuk utama kira-kira pukul 11.20 pagi, namun kumpulan terbabit enggan beredar dari kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, 14 suspek yang ditahan berusia di antara 30 hingga 50 tahun.

"Mereka ditahan di bawah Seksyen 27 Akta Polis kerana berhimpun tanpa permit dan kesemua suspek kemudian dibebaskan petang semalam dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Penasihat Menteri Besar Perak bagi komuniti India, Datuk S. Veerasingam berkata, perhimpunan itu tidak sepatutnya diadakan kerana isu Kampung DBI Buntong telah diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Jelasnya, pada 11 Januari lalu kerajaan negeri telah bersetuju menawarkan kesemua 132 penghuni setinggan berkenaan rumah kos sederhana atau sebidang tanah.

No comments:

Post a Comment