Translate

Thursday, August 20, 2009

MKTC tawar 10,000 peluang pekerjaan

IPOH - Sebuah kawasan perindustrian yang berteraskan teknologi maklumat dan informasi (ICT) melibatkan 101 syarikat Korea akan diwujudkan di bandar raya ini dalam tempoh enam bulan akan datang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri telah mengenalpasti dua tapak untuk projek berimpak tinggi itu yang akan dikenali sebagai Pusat Teknologi Malaysia-Korea (MKTC) itu.

"MKTC ialah kawasan perindustrian yang menumpukan pada penghasilan produk berasas infrastruktur telekomunikasi dan mampu menarik pelaburan asing kira-kira RM1 bilion daripada 101 syarikat ICT Korea itu.

"Ia akan didirikan di tapak seluas 28.35 hektar di Pangkalan di sini manakala Taman Teknologi Meru Raya di sini pula bakal menjadi tapak pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi MKTC,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara firma ICT Korea, Gentro Tech Co. Ltd. dengan dua syarikat tempatan, Perak Multimedia DotCom Sdn. Bhd. dan Virtual Bridge Sdn. Bdn. di sini semalam.

Gentro Tech diwakili Presidennya, Park Young Jun manakala Pengarah Perak Multimedia DotCom, Azman Jusoh dan Pengerusi Eksekutif Virtual Bridge, Nur Ezan mewakili Virtual Bridge.

Zambry berkata, pelaksanaan MKTC akan menawarkan peluang pekerjaan kepada hampir 10,000 penduduk tempatan serta mampu menjana pendapatan sehingga RM3.54 billion setahun.

Dalam masa yang sama, Perak juga akan mendapat manfaat dari segi pertukaran teknologi daripada projek itu selain menjadi pusat pengeksportan produk ICT untuk pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Dalam pada itu, beliau berkata, Gentro Tech adalah firma ICT Korea pertama yang akan bertapak di MKTC dengan pembinaan kilang mengeluarkan kabel salur optik beralun (COD) dalam tempoh setengah tahun lagi.

"Manakala penyertaan baki 100 syarikat dari negara tersebut ke kawasan perindustrian berkenaan akan menyusul kemudian secara berperingkat-peringkat dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment