Translate

Friday, August 7, 2009

18 tahun membazir bayar bank

Projek rumah terbengkalai, ada pembeli yang telah meninggal dunia

Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Selama 18 tahun menunggu rumah yang dibeli sehingga ada yang telah meninggal dunia, namun projek perumahan kos rendah di Taman Seri Manong, Ulu Kinta gagal disiapkan dan terus terbengkalai.

Impian 47 pembeli untuk tinggal di rumah teres dua tingkat milik sendiri semakin kabur apabila pemajunya hilang tanpa berita.

Kepada siapa mereka hendak mengadu dan sampai bilakah mereka akan terus menunggu dan membayar ansuran bank setiap bulan?

Menurut seorang pembeli, Hapisah Abdul Rahman, 47, perjanjian pembelian rumah kos rendah bernilai RM25,000 itu telah dibuat pada tahun 1989 yang sepatutnya siap dalam masa dua tahun.

"Namun ketika projek perumahan itu siap 70 peratus, pemaju menghadapi masalah dan meninggalkannya begitu sahaja.

"Setiap kali melalui kawasan ini, saya sedih kerana 50 meter dari tapak itu telah terbina beberapa taman perumahan lain," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Pengerusi Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Lee Kon Yin meninjau tapak projek perumahan tersebut semalam.

Seorang lagi pembeli, Siti Aminah Tugiman, 48, berkata, dia amat terbeban kerana terpaksa membayar ansuran bulanan pinjaman bank selain membayar sewa rumah sedangkan projek perumahan itu seperti tidak mungkin siap.

"Sejak lebih 18 tahun lalu, kami terpaksa membayar ansuran pinjaman bank sebanyak RM178 sebulan dan ia tinggal tujuh tahun sahaja lagi untuk langsai.

"Tambah menyedihkan, saya difahamkan tiga pembeli sudah meninggal dunia. Bagaimanapun kami tetap mahu hak kami dan merayu pihak berkenaan agar berbuat sesuatu untuk menyelesaikan masalah kami," katanya.

Sementara itu, Kon Yin yang bersimpati dengan nasib pembeli terbabit mencadangkan supaya mereka menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk mengukuhkan lagi perjuangan mereka.

"Pada masa sama, saya akan melanjutkan masalah ini kepada kerajaan negeri Perak dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Harap ada usaha agar projek perumahan berkenaan disiapkan atau dibina semula," katanya.

No comments:

Post a Comment