Translate

Friday, August 28, 2009

RPT untuk pesara polis dan tentera


IPOH - Pesara polis dan tentera di Perak yang masih belum memiliki kediaman sendiri akan dibantu mendapatkan tapak rumah menerusi Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kelonggaran khas itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan dan menghargai jasa bekas anggota pasukan keselamatan terbabit.

"Sebelum ini saya menerima banyak aduan bekas polis dan tentera di negeri ini tidak mampu memiliki rumah sendiri biarpun sudah bersara.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membantu mereka mendapatkan tapak rumah menerusi RPT yang terdapat di setiap daerah," katanya selepas menyerahkan bungkusan kuih raya kepada lapan pasukan keselamatan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini semalam.

Sebanyak 9,487 bungkusan kuih raya sempena Aidilfitri kepada lapan pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Markas Dua Briged Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Unit Penguatkuasa Penyeludupan (UPP).

Turut hadir Panglima Dua Briged, Brig. Jen. Zulkifli Mansor, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah dan Pegawai Pemerintah Pangkalan Polis Marin Kampung Acheh, Deputi Supritendan Shaari Ariffin.

Zambry berkata, beliau telah mengarahkan semua Pengawai Daerah di negeri ini untuk mengenalpasti bekas polis dan tentera terlibat.

Buat masa ini katanya, golongan terbabit yang layak akan diberi tanah untuk dibuat tapak rumah di RPT sedia ada.

"Untuk rancangan jangka panjang, setiap daerah akan mempunyai RPT khas untuk bekas polis dan tentera dan lokasinya sedang dikenalpasti Pegawai Daerah masing-masing.

"Mereka memang perlu membayar premium untuk memiliki tanah tersebut tetapi sekiranya ia membebankan golongan itu, kerajaan negeri akan mencari mekanisme terbaik mengatasinya," katanya.

No comments:

Post a Comment