Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
KUALA KANGSAR - "Saya lega kerana semakin hampir untuk dijatuhi hukuman sebat yang sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa berdosa saya."
Demikian pengakuan model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, ketika ditemui Kosmo! di rumah keluarganya di Kampung Jawang, Karai di sini semalam.
Namun kata wanita itu, dia dan keluarga keliru kenapa hukuman sebat itu perlu dilakukan di Penjara Kajang.
"Selepas ditahan adakah saya akan ditempatkan di Penjara Kajang bersama tahanan lain kerana saya bukan banduan," kata Kartika.Bagi Kartika, dia juga berpendirian seperti bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib untuk menjalani hukuman secara terbuka.
"Saya tidak akan berasa aib dan bersedia untuk disebat di khalayak ramai agar matlamat hukuman tersebut untuk memberi teladan kepada orang ramai tercapai," kata ibu kepada dua orang anak itu.
Kartika tiba dari Singapura bersama suaminya, Mohamad Affendi pada pukul 2 pagi semalam setelah dimaklumkan bapanya tentang pengeluaran waran penahanan kelmarin bagi menjalani hukuman sebat.
"Saya sudah bersedia untuk dibawa oleh jabatan agama bagi menjalani hukuman sebat," katanya.
Sementara itu, Shukarnor berkata, mereka tetap berpendirian hukuman sebat yang bakal dijalani Katika dilakukan di khalayak ramai.
Mahkamah Tinggi Kuantan kelmarin mengeluarkan waran penahanan terhadap Kartika berkuat kuasa 24 Ogos ini.
Sebaik ditahan Kartika dalam perintah mahkamah itu akan dibawa ke Penjara Kajang, Selangor bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman tersebut.
Pada 18 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang menjatuhi hukuman enam kali sebatan dan denda RM5,000 terhadap Kartika yang didakwa meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating pada pukul 11.40 malam 11 Julai 2008.
Dakwan dibuat mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara dan disebat tidak melebihi enam sebatan.
No comments:
Post a Comment