Translate

Monday, May 25, 2009

Adlin sekadar tersenyum


MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PENANTIAN sekian lama Adlin Aman Ramli,37, dalam menjejaki seorang dara untuk dijadikan suri hidup bagi mengisi kekosongan diri usai sudah petang Jumaat lalu, sehari sebelum ulang tahun kelahirannya.

Bagi seorang insan yang sering mempotretkan diri pada khalayak sebagai seorang yang kompleks dan mementingkan kesempurnaan, pasti ramai yang ternanti-nanti siapakah gadis yang mampu memenuhi cita rasa tingginya.

Insan bertuah yang disunting itu tidak lain tidak bukan adalah kekasih hatinya sejak empat tahun lalu iaitu pelakon, Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29, anak jati Ipoh yang juga adik kepada pelakon, Emylia Rosnaida.

Sesudah selesai majlis pernikahan yang disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Zainuddin Abdul Arshad di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta, Ipoh kira-kira 5.30 petang, juri tetap Akademi Fantasia 7 (AF7) itu tidak putus-putus menyatakan perasaan bersyukur dapat mengahwini Emelda.

Apa istimewanya Emelda atau lebih mesra dipanggil Mel hingga mampu menakluk kelelakian Adlin?

Menjawab persoalan itu, anak pasangan pelakon legenda A.R. Tompel dan Ruminah Sidek atau Mak Mah itu ketawa girang dan dengan penuh jujur menyatakan kehadiran Mel banyak mengubah rutin hidupnya, selain mengajarnya tentang persepsi hidup yang sebenar.

"Sebagai lelaki memang saya mencari pasangan yang dirasakan sesuai. Saya akui saya seorang yang kompleks dan sebelum mengenali Mel, sebahagian besar hidup saya banyak dihabiskan dengan kesibukan bekerja dan berkarya hingga banyak perkara lain terabai.

"Namun kehadirannya secara perlahan-perlahan dapat mengubah persepsi hidup saya. Dia benar-benar tahu kekuatan dan kelemahan saya. Pendek kata Mel memang pandai kendalikan saya, pilihan ini adalah tepat," katanya.

Emelda yang anggun dalam busana putih rekaan Clavin Thoo pada majlis pernikahan itu tersenyum dengan pujian melambung suaminya. Dia yang berada di sebelah Adlin menyampuk, suaminya bukanlah seorang lelaki ego seperti yang disangka ramai.

"Tak susah sebenarnya untuk mengendalikan Adlin. Dia bukan seorang yang ego, mendengar kata dan sentiasa mengaku kesalahan setiap kali membuat kesilapan.

"Walaupun dia bukanlah seorang yang romantik seperti yang pernah saya impikan tapi saya bersyukur. Namun yang paling menambat hati saya ialah kematangannya," luahnya sambil tidak menafikan perbezaan umur mereka sebanyak lapan tahun mungkin antara faktor utama kematangan suaminya.

Mel percaya Adlin berkemampuan untuk membentuk keluarga yang baru dibina itu ke arah yang lebih baik.

Biasanya bagi seorang teruna, saat berhadapan dengan jurunikah untuk diijabkabulkan dengan pengantin perempuan merupakan saat paling mendebarkan dalam hidup. Setenang manapun seorang pria itu pasti akan ada gentar yang berkaca di hatinya.

Namun tidak bagi Adlin. Tiada tercalit sekelumit gentar pada riak mukanya pada masa itu, dia malah penuh ceria dan tampak begitu teruja.

Sempat pula dia mengusik wali hakim, sedangkan sebaliknya Mel yang berada kira-kira lima meter dari situ jelas tidak dapat menyembunyikan perasaan berdebar-debar dan terharu melalui detik bersejarah itu.

Keupayaan Adlin menyerap tekanan sangat mengagumkan dan memperlihatkan seolah-olah dia sudah meraih pengalaman melalui situasi serupa pada masa lepas.

Malah, ada mulut-mulut nakal mengatakan ia tidak menghairankan kerana ini bukanlah pernikahan pertama yang dilalui Adlin. Ada desas-desus mengatakan dia pernah melayari alam perkahwinan sebelum ini pada usia muda, namun malangnya telah terputus di hujung jalan.

Ditebak mengenai perkara itu, Adlin cuma tersenyum sinis. Mengiya tidak menafikan pun tidak.

"Pada masa itu, saya rasa sangat seronok, teruja dan bangga. Setelah empat tahun bersama Mel dan lepas bertunang saya makin pasti, saya bangga akan mengahwini wanita yang saya kenal luar dan dalam dan boleh menerima kelebihan dan kekurangan diri ini.

"Saya rasa teruja pada masa itu kerana nak sangat (pernikahan) jadi dan syukur semuanya sudah selesai," tuturnya.

Kenal luar dan dalam

Bagi Mel pula dia mengakui mengenali suaminya itu luar dan dalam dan begitu pasti tidak salah memilih Adlin sebagai suaminya, malah sebelum inipun dia sentiasa yakin Adlin akan menjadi suaminya suatu hari nanti.

Mel berkata, sebagai seorang perempuan sudah pasti nalurinya lebih risau dan berdebar melalui detik-detik akad nikah itu.

Namun hatinya akhirnya lega kerana semuanya telah selamat seperti yang dirancangkan.

Walau bagaimanapun, dia mengakui agak sebak pada saat tersebut kerana terkenangkan arwah ayahnya, Abdul Hamid Md. Ally yang meninggal dunia 2 Februari tahun lalu dan tidak dapat meraikan hari bahagianya.

"Rasa kehilangan kerana arwah memang nak sangat lihat kami naik pelamin, tapi apakan daya," katanya sambil menyeka titis air mata yang bercucuran di pipi.

Adlin yang mengusap air mata itu berkata, mereka berazam untuk menjadi pasangan yang menekankan nilai-nilai baik bagi dijadikan iktibar kepada peminat.

Dia yang mengakui hubungan rapatnya dengan Emylia Rosnaida dan suaminya, AC Mizal adalah salah satu elemen penting membolehkannya mendekati Emelda berkata, pasangan kakak dan abang ipar itu akan sentiasa dijadikan model dan rujukan dalam pembentukan keluarganya kelak.

Majlis perkahwinan pasangan merpati sejoli itu memang jelas memperlihatkan nilai-nilai kekeluargaan yang tinggi.

Majlis berlangsung dihadiri lebih 200 tetamu termasuk ibu Emelda, Rokiah Ibrahim, 63, Mak Mah, Emylia Rosnaida dan AC Mizal, serta rakan-rakan artis pelakon dan penyanyi, Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli yang juga menjadi pengapit pengantin lelaki serta dua bintang AF7, Aril atau nama sebenarnya, Khairil Azam Pilus dan Afiq Hakim Ahmad atau Akim.

Majlis berinai besar yang diadakan pada sebelah malam bermula 9 malam di rumah pusaka arwah ayah Mel di Kampung Melayu, Batu 8 memang meriah apatah lagi ia diselang-selikan dengan hiburan daripada lagu-lagu karaoke yang didendangkan oleh keluarga pengantin dan jiran terdekat.

Kedua-dua mempelai tersebut yang memakai persalinan cantik berwarna merah dari Butik Pengantin Nasha kelihatan anggun berada di pelamin indah rekaan butik sama.

Sejurus upacara menepung tawar selesai, seramai kira-kira 300 sanak saudara dan tetamu tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar kenangan dengan pengantin baru tersebut.

Keesokan malamnya pula, pasangan terbabit mengadakan majlis bersanding yang bertemakan tradisional klasik di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh dengan menggunakan khidmat tatarias, Deq Sha dan busana buatan pereka muda, Rizman Ruzaini.

Emelda berhenti berlakon?

Sementara itu menurut Mak Mah, majlis menyambut menantu bagi pihak lelaki pula yang berkonsep Jawa dijadual diadakan di rumahnya di Meru, Klang pada 21 Jun depan.

Pelakon veteran yang teruja menerima menantu baru itu membayangkan segala persiapan untuk majlis tersebut akan dilakukan secara gotong-royong (rewang) selaras kehidupan cara kehidupan kampung yang masih tebal diamalkan di kawasannya.

Mengenai karier seni Mel pula, dalam ini masa terdekat, Adlin memberi kebebasan kepada isterinya itu untuk menentukannya.

"Kalau ikut kata Adlin, nak kerja (berlakon) boleh, tak kerja pun boleh. Buat masa ini memang saya nak teruskan kerjaya saya sebab ia memang darah daging saya dan masih rasa belum penat berlakon," beritahu Mel.

Namun, Adlin yang berada di sebelah mencelah dan memberi bayangan mungkin perjalanan hidup isterinya sebagai anak seni bakal terhenti tidak lama lagi dan ia akan dilakukan secara beransur-ansur.

Menurutnya yang merancang untuk memperolehi tiga orang cahaya mata berkata, dia mengimpikan kehidupan yang mementingkan institusi kekeluargaan.

"Jika sudah ada cahaya mata nanti, biarlah (Mel) jadi suri rumah. Saya mahu kepulangan saya selepas penat bekerja disambut isteri dan anak-anak dengan perasaan gembira di pintu rumah," tegasnya.

No comments:

Post a Comment