berita@kosmo.com.my
IPOH – Speaker ‘diangkat’ keluar dewan, wakil-wakil rakyat pembangkang menyerbu dan memaki hamun barisan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) serta paling memalukan, Pemangku Sultan Perak terpaksa menunggu enam jam sebelum dapat merasmikan persidangan.
Itulah antara drama pada perasmian mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam yang berakhir dengan ‘pasukan’ kerajaan BN berjaya mengambil alih kuasa yang menjadi hak mereka di dalam dewan tersebut.
Ketegangan tercetus sebaik sahaja semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memasuki Dewan selepas Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selesai menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan anggota keselamatan pada pukul 10.05 pagi.
Sidang yang sepatutnya dirasmikan oleh Raja Dr. Nazrin bagaimanapun terpaksa ditangguhkan sehingga pukul 3.05 petang gara-gara Speaker, V. Sivakumar secara tiba-tiba mengarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco keluar dewan.
Sivakumar turut mengarahkan tiga ADUN Bebas yang menyokong BN iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) berbuat demikian.
“Saya hanya akan memulakan sidang ini jika kesemua 10 orang itu keluar dari dewan,” katanya berulang kali.
Suasana riuh-rendah mula menyelubungi dewan apabila wakil rakyat Pakatan Rakyat menjerit dan mendesak 10 ADUN terbabit mengikuti ‘arahan’ Sivakumar.
Namun kira-kira 16 minit kemudian, biarpun dihalang menggunakan pembesar suara oleh beberapa ADUN Pakatan Rakyat, Dr. Zambry bangun membacakan usul memecat Sivakumar daripada jawatan Speaker dan ia disokong sebulat suara oleh 27 ADUN BN dan tiga ADUN Bebas dengan mengangkat tangan.
Dewan kemudian terus panas apabila Timbalan Speaker dilantik Pakatan Rakyat, Hee Yit Foong yang kini ADUN Bebas mengemukakan usul supaya beliau mengambil alih peranan Speaker berdasarkan Perintah Tetap 12.2, Peraturan Mesyuarat DUN Perak.
Tindakan Yit Foong itu kemudian disusuli usul melantik Speaker DUN Perak yang baru oleh Dr. Zambry yang mencadangkan bekas ADUN Sungkai, Datuk R. Ganesan. Cadangan tersebut disokong oleh ADUN Sungai Rapat.
Kira-kira pukul 11.03 pagi, Ganesan dipanggil masuk dan dipakaikan jubah Speaker oleh Dr. Zambry.
Senario itu mencetuskan pertengkaran besar di kalangan wakil rakyat kedua-dua pihak dan ADUN Pakatan Rakyat kemudian cuba menghalang Ganesan daripada membaca perakuan sumpah jawatan.
Sidang kemudian berjaya ‘ditangguhkan’ oleh Ganesan selama sejam sebelum bersambung kira-kira pukul 12.20 tengah hari.
Sejurus DUN kembali bersidang, kekecohan semakin ketara selepas Ganesan cuba mengambil alih tempat Bentara di tengah-tengah dewan untuk menjalankan tugas sebagai Speaker dan tindakannya itu menyebabkan lebih 15 ADUN Pakatan Rakyat mengerumuninya.
Ia berlarutan selama lebih dua jam dan sepanjang tempoh itu, wakil rakyat Pakatan Rakyat tidak berputus asa mengepung dan menghalang Ganesan daripada menggunakan pembesar suara sehingga berlaku pergelutan di kalangan wakil rakyat kedua-dua pihak.
Ini mendorong lebih 30 anggota polis berpakaian preman masuk ke dalam dewan untuk meleraikan mereka.
Sivakumar yang sejak empat jam sebelum itu tidak berganjak daripada tempat duduknya bagaimanapun diangkut keluar anggota polis terbabit walaupun dihalang wakil rakyat Pakatan Rakyat.
Ganesan kemudian memulakan tugasnya sebagai Speaker baru DUN Perak dan menjemput Raja Dr. Nazrin Shah yang sepanjang tempoh ‘kekecohan’ itu berada di Bilik Diraja. Baginda menyempurnakan perasmian pembukaan mesyuarat tersebut kira-kira pukul 3.15 petang.
Persidangan penggal kedua DUN Perak ke-12 yang berakhir pada pukul 3.50 petang itu kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian.
No comments:
Post a Comment