Translate

Tuesday, May 19, 2009

Keli zat babi haram

KUALA LUMPUR - Ikan keli yang diternak di 10 kolam ternakan di Perak yang didakwa menggunakan air sisa kumbahan ladang ternakan babi adalah haram dan tidak boleh dimakan oleh umat Islam.

Menurut penceramah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah, ikan keli tersebut secara automatik telah memakan pelbagai sisa najis babi daripada air sisa kumbahan yang disalurkan terus ke kolam ternakan itu.

Katanya, apabila warna, rasa dan rupa air tersebut telah berubah, maka air tersebut sudah menjadi najis Mughallazah iaitu najis paling berat dalam Islam.

"Jika jumlah kolam yang terima air sisa kumbahan dari ladang babi itu banyak, maka ikan yang hidup di dalam kolam dan seterusnya memakan sisa kumbahan itu adalah secara automatik haram dimakan," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang pengusaha ternakan ikan keli di Perak yang didakwa menggunakan air kumbahan dari ladang ternakan babi untuk ternakan ikan itu di 10 buah kolam miliknya.

Sisa dan air kumbahan yang disalurkan ke kolam itu dipercayai mendap ke bawah dan menjadi makanan ikan manakala mendapan itu pula menyebabkan permukaan kolam seolah-olah diselaputi lumut.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid pula berkata, ikan keli itu akan menjadi haram jika makanan ikan peliharaan itu sejak dari kecil hingga dewasa terdiri daripada sisa kumbahan babi.

"Jika itu keadaannya, ia sudah menjadi darah daging kepada ikan-ikan tersebut dan hal ini diputuskan haram kerana sukar untuk dipisahkan antara najis dan ikan-ikan tersebut," tegas beliau.

Dalam pada itu, Penasihat Menteri Besar Perak bagi Hal Ehwal Islam Perak, Datuk Kapten (B) Mohd. Najmuddin Elias telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) supaya segera menyiasat dakwaan tersebut.

Beliau yang kesal dengan penjualan ikan keli ‘haram’ itu secara terbuka berkata, ia merupakan satu kesalahan yang serius dan tindakan segera perlu diambil untuk menanganinya.

"Sememangnya mengikut hukum syarak, ikan keli terbabit haram dimakan orang Islam kerana sumber makanannya telah tercemar dengan sumber haram iaitu air kumbahan babi.

"Sekiranya dakwaan itu terbukti benar, perbuatan penternak ladang babi itu amat dikesali kerana tidak menjaga sensitiviti orang Islam dan ia perlu dihentikan segera," katanya.

1 comment:

  1. kerajaan UMNO kata nak sokong orang melayu tetapi sehingga sekarang mereka lupa bahawasanya oran melayu masih merintih di bumi sendiri.

    mereka tiada usaha yg bersungguh-sungguh dalam membangunkan modal insan orang melayu.

    padahal, kerja-kerja memelihara ikan keli, ayam, itik, serati, lembu kambing kerbau adalah pekerjaan orang melayu sejak berzaman lagi.

    tetapi sayangnya kini,nak lembu itik serati kambing kena beli dengan cina.

    mana melayunya...

    inilah jadinya bila makanan pun dikawal oleh orang bukan islam. yang islam dok sibuk dengan politik bodoh seperti di perak.

    kata tak mahu makan babi..tetapi orang bagi ikan keli makan najis babi pun kita makan. apa ke hal nye..

    ReplyDelete