Translate

Saturday, June 3, 2017

Bebas selepas 2 bulan ditahan di Indonesia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Sinar Ramadan memberi makna bererti buat dua nelayan selepas dapat kembali ke pangkuan keluarga semalam selepas hampir dua bulan ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki menceroboh perairan negara itu pada awal bulan lalu.

Kepulangan Mohd. Fadli Jaafar, 40, dan rakannya, Abdul Halim Nik, 43, disambut ahli keluarga dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di Dataran Pertama, Seberang Takir di sini kira-kira 12 tengah malam.

Sebelum ini, Mohd. Fadli dan Abdul Halim serta tiga rakan mereka termasuk tekong bot, Abdul Rashid Nik, 52, ditahan kapal Tentera Laut Indonesia kerana disyaki melepasi lima batu nautika perairan negara jiran itu berhampiran Pulau Natuna pada pukul 11.30 pagi, 8 April lalu.

Mohd. Fadli berkata, pengalaman ditahan di dalam lokap di Pulai Terepat, Kepulauan Anambas, Indonesia selama hampir dua bulan amat menginsafkannya kerana ia merupakan pengalaman pertama diberkas sejak lebih 23 tahun menjadi nelayan.

“Sepanjang berada di dalam lokap, saya sering terkenang isteri dan empat anak sebab saya seorang sahaja yang menyara keluarga.

“Ingatkan tidak sempat berpuasa dan beraya bersama keluarga. Terima kasih kepada kerajaan negeri, Wisma Putra, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan pihak lain yang banyak membantu dalam usaha pembebasan kami,” katanya yang berasal dari Seberang Takir di sini kepada pemberita.

Sementara itu, Abdul Halim memberitahu, mereka yang merupakan nelayan kelas C telah berlepas dari jeti Peramu, Kemaman pada 4 April lalu.

Dia yang masih bujang berkata, sehari sebelum dijadualkan pulang ke daratan, sebuah kapal perang tiba-tiba mendekati bot yang mereka naiki ketika sedang memasang bubu untuk menangkap ikan kira-kira 75 batu nautika dari perairan Kuantan.

“Pada mulanya kami tidak kisah sebab ingatkan APMM (Maritim Malaysia) tetapi rupa-rupanya Tentera Laut Indonesia. Kami akur dan mengikut arahan apabila pihak berkuasa Indonesia itu memaklumkan bot yang dinaiki telah melepasi perairan Indonesia,” ujarnya.

Abdul Halim yang juga adik kepada tekong bot Abdul Rashid berkata, pencerobohan perairan negara jiran dilakukan tanpa niat kerana bot mereka tidak dilengkapi sistem penentu kedudukan global yang memaklumkan sempadan antarabangsa.
Sementara itu, Ahmad Razif berkata, dua lagi nelayan yang ditahan iaitu Firdaus Mamat, 27, dan Zaidi Hasan, 23 juga telah dibebaskan dan dijangka dibenarkan pulang ke tanah air sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, kedua-dua nelayan itu diperlukan untuk menjadi saksi pembelaan terhadap Abdul Rashid yang akan dihadapkan ke mahkamah atas pendakwaan menceroboh perairan Indonesia pada masa terdekat.

“Kita sudah lantik peguam bela bagi membuat rayuan agar hukuman yang bakal dikenakan terhadap Abdul Rashid dapat diringankan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment