Translate

Tuesday, January 8, 2013

Suami isteri saki-baki penjenayah Geng Ah Kaw diberkas


IPOH - Sepasang suami isteri yang disyaki saki-baki penjenayah  Geng   Ah   Kaw  yang terlibat dalam kes-kes pecah rumah dan curi kenderaan diberkas hanya kira-kira enam jam selepas mereka menyamun sebuah rumah di Simpang Pulai dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, penahanan pertama pada pukul 11 pagi kelmarin membabitkan lelaki berusia 31 tahun sewaktu dia bersama dua lagi rakan menaiki sebuah kereta Proton Putra di Menglembu di sini.

Dua lagi lelaki yang merupakan rakan suspek itu bagaimanapun berjaya melarikan diri.

Menurut beliau, suspek itu kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Taman Menglembu Timur yang kemudian membawa kepada penangkapan isterinya yang berusia 35 tahun pada hari sama.

"Pemeriksaan di rumah itu menemui pelbagai barangan dipercayai curi seperti komputer riba, beg komputer riba, pemain cakera padat digital (DVD), sistem navigasi satelit (GPS), cakera keras, penapis air, televisyen LCD dan pendingin hawa.

"Alatan memecah rumah seperti parang, pemutar skru, kekunci L, topeng muka dan sarung tangan turut dirampas," kata beliau pada sidang akhbar di sini.

Chang Keong memberitahu, siasatan awal mempercayai pasangan suami isteri itu bersama dua lelaki yang masih bebas baru memecah masuk sebuah rumah di Simpang Pulai pada pukul 4.30 pagi kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, sebuah kereta Honda City milik mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 50 dilarikan.

Kosmo! pada 9 Jun tahun lalu menyiarkan kegiatan pecah rumah melibatkan  Geng   Ah   Kaw  yang didalangi dua lelaki yang baru sebulan dibebaskan dari Pusat Tahanan Machang, Kelantan berjaya dilumpuhkan ekoran serbuan di sebuah rumah di Taman Rasi, Menglembu.

Dalam serbuan itu, empat individu termasuk dua wanita diberkas manakala lima jam selepas itu, seorang lagi anggota kumpulan terbabit ditahan di lokasi lain berdekatan Menglembu.

Ketua  geng  dikenali dengan panggilan  Ah   Kaw .

No comments:

Post a Comment