Translate

Sunday, October 18, 2020

Sembilan bot nelayan Vietnam dilupus jadi gugusan Tukun Segantang

 BESUT - Maritim Malaysia (APMM) menenggelamkan sembilan bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak di perairan Pulau Susu Dara dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua sembilan bot nelayan Vietnam berkenaan dilupuskan untuk menjadi tukun tiruan di perairan tersebut.

"Gugusan tukun tiruan itu telah dinamakan sebagai Tukun Segantang sebagai penghargaan terhadap Kapal Maritim (KM) Segantang yang pernah digunakan sebagai aset terpenting APMM di perairan Terengganu.

"Operasi APMM menggunakan KM Segantang berjaya menangkap 80 nelayan asing yang mencerobohi perairan negara sepanjang lima tahun tempoh perkhidmatannya sebelum dipulangkan semula kepada Tentera Laut Diraja Malaysia pada 10 Jun lalu," katanya kepada pemberita. 

Terdahulu beliau ditemui selepas menyaksikan pelupusan semua bot nelayan Vietnam terbabit yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Peladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim.

Muhammad Suffi berkata, KM Segantang yang berusia 55 tahun merupakan aset tertua pernah dimiliki APMM namun masih kukuh disebabkan ia diperbuat daripada besi padu setebal hampir 55 milimeter (mm).

Saturday, October 17, 2020

Tauke kedai telefon didenda RM115,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik kedai telefon didenda RM115,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan mendaftarkan 115 kad sim prabayar menggunakan maklumat palsu.

Jumlah denda tersebut paling tinggi telah dijatuhkan mahkamah terhadap pesalah kes pemalsuan pendaftaran kad sim di negara ini.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh, Ng Yean Ping, 33, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya kelmarin.

"Perbuatan tertuduh (mendaftarkan kad sim dengan maklumat tidak benar) telah menyebabkan tersebarnya berita palsu yang mengelirukan masyarakat. 

"Penguatkuasaan perlu dilakukan untuk mengekangnya," katanya.

Hakim turut memerintahkan Yean Ping menjalani hukuman penjara tambahan selama 115 bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Tertuduh yang diwakili peguam, Che Amir Che Musa membayar denda tersebut.

Berdasarkan kesemua 115 pertuduhan tersebut, Yean Ping didakwa membuat capaian kepada kandungan satu komputer iaitu sistem Multi Channel Portal (MCP) Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) sebelum menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa ke atas kandungan sistem MCP berkenaan.

Tertuduh didakwa telah mendaftarkan kad sim tanpa membuat pengesahan maklumat yang sah pengguna akhir terlebih dulu seperti dikehendaki Digi di sebuah premis di Jalan Bukit Kecil di sini dari 18 April hingga 10 Jun 2016.

Mengikut fakta kes, kegiatan pemalsuan pendaftaran kad sim terbongkar selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima aduan berhubung penyebaran berita palsu,  'Sultan Mizan kembalikan darjah kebesaran kepada MB Terengganu'.

Berita itu memetik agensi berita, Bernama pada 1 Jun 2016.

Semakan SKMM mendapati berita palsu itu dihantar menggunakan kad sim prabayar Digi yang didaftarkan oleh kedai telefon Yean Ping.

Serbuan di premis tersebut pada 14 Jun 2016 telah menemui bukti tertuduh telah mendaftarkan 115 kad sim prabayar menggunakan identiti 32 warga asing yang sebenarnya tidak wujud.

Yean Ping didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya.

Friday, October 16, 2020

Buruh didakwa tumbuk muka staf kesihatan

MARANG - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengasari seorang penjawat awam di sebuah kedai makan di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada Isnin lalu.

Tertuduh, Amran Mohamed, 46, dari Kampung Jeneris, Kuala Berang, Hulu Terengganu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan dengan tujuan menakutkan penjawat awam yang sedang menjalankan tugasnya di sebuah kedai makan di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada pukul 9 pagi, 5 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman  penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Engku Nurul Ain membenarkan Amran dibebaskan dengan wang jaminan RM2,500 dan seorang penjamin.

Mahkamah mengenakan syarat agar tertuduh tidak menganggu mangsa selain menetapkan sebutan semula kes pada 2 November depan.

Difahamkan Amran yang sedang bersarapan pagi sambil menghisap rokok di kedai makan berkenaan telah ditegur anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Terengganu itu yang sedang memantau  pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tempat awam.

Tertuduh yang berang dengan teguran itu didakwa telah menumbuk anggota penguat kuasa tersebut.

Selain didakwa di mahkamah, Amran juga telah dikenakan kompaun kerana merokok di kawasan larangan merokok mengikut Peraturan 11 (1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pindaan 2018.